Thursday, April 29, 2010

Keadilan Untuk Arwah Adik Aminul Rasyid

KISAH AMINULRASYID : CERITA DARI AHLI PARLIMEN SHAH ALAM


Pada hari Isnin 26 April, jam 4 petang, saya telah menerima panggilan dari Ustadz Nasaruddin, Pemangku Ketua Pemuda PAS kawasan Shah Alam. Dia memberitahu saya bahawa seorang remaja yang berumur 15 tahun telah ditembak mati oleh Polis di Seksyen 11 Shah Alam awal pagi tadi. Penduduk sedang berkumpul di Surau Seksyen 11 untuk menunggu jenazahnya dan semua menyuarakan ketidak puasan hati atas tindakan Polis.

Remaja berkenaan anak salah seorang ahli Qariah yang dikenali.
Mendengar berita tersebut saya pun telah bergegas ke Surau berkenaan dan mendapati sudah ramai berkumpul di situ. Saya melihat ramai di antara mereka terdiri daripada remaja belasan tahun.

Sebahagian dari mereka menunggu di luar kawasan Surau sambil sebahagian yang lain berada di dalam kawasan Surau tersebut. Setiba sahaja saya, qamat Salat Asar telahpun didengari dan Salat hendak dimulakan.


Saya mengambil wudu’ dan seterusnya menyertai jemaah. Setelah selesai salat, saya mendapatkan penjelasan dari Ustadz Nasaruddin mengenai apa yang telah berlaku. Beberapa orang turut mendengar dan memberi penjelasan termasuk seorang penduduk yang telah menyaksikan sendiri peristiwa berkenaan kerana kereta yang dipandu arwah terbabas di hadapan rumah beliau.

Mengikut keterangan mereka, pada jam lebih kurang 1.30 pagi, beberapa das tembakan telah kedengaran di jalan 11/2. Apabila disiasat, didapati sebuah kenderaan sedang dikejar kenderaan polis. Akhirnya kenderaan yang dikejar terbabas dan melanggar tembuk rumah dan pemandunya, Aminulrasyid Amzah, mati terkena tembakan di kepalanya. Seorang penumpang telah keluar dan berjaya melarikan diri.


Saya kemudiannya membuat panggilan telefon kepada Dato’ Khalid, Ketua Polis Negeri dan meminta penjelasan dari beliau. Dato’ Khalid menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan dan anggota polis yang terbabit telah dipindahkan ke kerja-kerja pejabat. Menurut beliau, siasatan dibuat oleh polis Negeri, bukan oleh polis Shah Alam, bagi menjamin ketelusan.
Begitu juga tegas beliau, bahawa siasatan dibuat di bawah Kanun Keseksaan 302, iaitu tuduhan membunuh sebagai bukti seriusnya pihak polis ke atas kes ini.


Dalam keadaan asyik mendengar penjelasan tambahan dari mereka yang berada di Surau, tiba-tiba beberapa orang membawa seorang remaja ke hadapan saya sambil berkata kepada saya, "dia lah penumpang yang bersama arwah yang telah melepaskan diri". Orang semakin ramai berkumpul dikeliling saya dan memandangkan keadaan semakin bercelaru, saya menasihati remaja tersebut untuk ke tempat lain dahulu dan 'stay low profile'.

Saya mengambil nombor telefon bimbitnya dan berjanji akan memanggilnya kemudian untuk bertemu dalam suasana dan keadaan yang lebih tenteram untuk mendapatkan penjelasan berhubung peristiwa berkenaan daripada beliau. Saya berpesan supaya dia berhati-hati supaya tidak ditahan polis kerana dikhuatiri penjelasan beliau akan dipengaruhi pihak polis untuk sealiran dengan kenyataan yang telah dikeluarkan mereka.


Kenyataan yang dikeluarkan polis melalui TV dan radio, saya diberitahu, berbunyi
"seorang yang disyaki penyamun ditembak polis awal pagi di Seksyen 11 Shah Alam… sebilah parang dijumpai di dalam kereta disyaki digunakan sebagai senjata untuk menyamun… suspek kedua berjaya melepaskan diri..."


Selepas Maghrib saya berhubung dengan remaja berkenaan dan kami bertemu bersama beberapa orang sahabat sebagai saksi. Remaja tersebut memberitahu bagaimana arwah telah mengambil kereta kakaknya pada lewat malam sambil semua sedang tidur dan menjemput beliau. Mereka telah ke sebuah kedai di Seksyen 11 dan seterusnya ke Seksyen 7 setelah mendapat panggilan dari seorang rakan lain yang mengalami kerosakan motorsikal di situ.

Dalam perjalanan ke tempat kerosakan tersebut, berhampiran restoran Ali’s corner, mereka tergesel dengan sebuah kereta mewah yang sedang parkir di situ. Kemalangan ini menyebabkan arwah ketakutan dan beliau terus membawa kereta untuk melarikan diri. Pada masa yang sama mereka dapati ada motorsikal yang mengejar mereka. Apabila sampai di Seksyen 12, di jalan dari bulatan Istana Kayangan menuju SIRIM, motorsikal berkenaan terlanggar kereta yang dipandu arwah di bahagian belakang dan terus terbabas.

Arwah terus membawa keretanya dengan laju dan pada ketika itu mereka telah memintas sebuah kereta peronda polis. Kereta peronda tersebut terus membunyikan sirennya dan mengejar mereka, melalui SIRIM terus ke bulatan dan menuju ke Masjid Negeri, sampai ke Seksyen 9 dan kembali ke bulatan Istana Kayangan.

Dari bulatan Istana Kayangan mereka berpatah semula ke Seksyen 11 memasuki simpang berhampiran Caltex, Esso dan terus memasuki jalan 11/2. Tiba-tiba kedengaran tembakan beberapa das. Kereta terhoyang hayang disyaki tayar telah terkena tembakan. Arwah terus memandu dalam keadaan tayar ditembak sehingga tiba-tiba beliau rebah ke atas ribanya. Kereta terus menyimpang ke kiri dan terbatas melanggar tembok sebuah rumah.

Apabila di pegang kepala arwah, didapati berlumuran darah.Terasa kepala berlubang dan darah membasahi tangan dan bajunya. Remaja ini terus keluar dari kereta, terpaksa keluar dari pintu sebelah arwah, kerana pintu sebelah dirinya telah terhimpit. Terpaksa mengalih mayat arwah supaya dapat melepasi diri dengan tujuan menyerah diri. Tak sempat apa-apa, sebaik sahaja keluar beliau diterajang seorang anggota polis dan beliau terus melarikan diri.

Sambil mendengar penjelasan beliau, tiba-tiba abangnya muncul entah dari mana. Memarahi beliau kerana tidak pulang ke rumah. Apa dah jadi ini, kata abangnya, bagaimana adik saya digelar penjenayah. Kami menenangkan abangnya sambil memberitahu niat kami adalah untuk menolong adiknya. Dia terus meminta adiknya pulang ke rumah, ayah menunggu katanya. Kami ikut sekali. Setibanya di rumah mereka, ayah dan ibunya kebinggungan. Kami menenangkan mereka dan memberitahu mereka anak mereka bukan penyamun.


Seterusnya saya membawanya bersama abangnya untuk membuat laporan polis. Jam sudah hampir pukul 10 malam. Saya ingin menentukan bahawa laporannya sama seperti ceritanya kepada saya sebelum ini. Tiada paksaan untuk mengubah ceritanya. Selepas laporan disiapkan saya bersamanya dan abangnya bertemu pegawai yang bertugas.

Saya bertanya apakah SOP untuk pihak polis menggunakan senjata api menembak orang yang disyaki. Dia menjawab, hanya sekiranya nyawanya atau nyawa orang lain terancam.

Remaja saksi utama dibenarkan pulang ke rumah. Saya telah berhubung dengan YB Gobind Deo terlebih awal dan meminta dia mengambil kes ini. Dia berjanji akan berjumpa remaja berkenaan pada esok harinya, iaitu Selasa jam 10.30 pagi di mahkamah Shah Alam.

Selepas itu saya ke rumah arwah untuk bertemu keluarganya. Ibunya kesedihan. Abangnya kebinggungan. Bagaimana ini semua boleh berlaku. Mendengar percakapan ibunya berhubung arwah yang merupakan anak bongsunya, saya merasa sebak. Saya tak boleh bayangkan kesedihannya. Semakin ramai datang berkumpul. Saya berundur pada jam 12 tengah malam.

Esok pagi jam 9.30 pagi saya mengadakan sidang akhbar di pejabat saya. Dalam sidang akhbar tersebut saya menyatakan 3 perkara seperti berikut :

1. Arwah bukan penyamun dan penjenayah. Warga Seksyen 11 mengenali beliau dan tidak akan menerima alasan sedemikian rupa dari mana pihak sekalipun.


2. Arwah tidak cuba melanggar anggota polis seperti yang didakwa. Arwah telah ditembak semasa memandu melarikan diri dan bukan semasa mengundur kereta untuk melanggar anggota polis. Itu satu pembohongan sepertimana juga kisah kononnya ada sebilah parang di dalam kereta.

3. Saksi yang merupakan rakan sepanjang peristiwa malang tersebut perlu diberi perlindungan dan tidak ada usaha dilakukan supaya ceritanya diubah untuk bersesuaian dengan kisah yang dilaporkan pihak polis. Saya meminta Polis bertindak secara profesional dalam kes ini dan jangan berusaha untuk melindungi anggotanya.

Shah Alam menjadi medan berlakunya pembunuhan Teoh Beng Hock sebelum ini. Malaysia juga menyaksikan sebelum ini kes Kugan yang telah mati di dalam tahanan. Norizan Salleh yang ditembak secara rambang sebanyak 5 kali tetapi masih hidup untuk menceritakan pengalaman ngerinya.

Harap jangan dilupa juga kisah Altantuya bersama bom C4. Ini semua kes-kes yang tergantung yang menjadi tanda tanya masyarakat. Entah banyak mana lagi kes yang tergantung sebegini yang tidak diketahui umum.

Apa yang pasti, kita tidak boleh membenarkan kes Aminulrasyid berkesudahan sebegitu rupa. Kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh yang beroleh rahmat.


Wallahu 'Alam
KHALID SAMAD

Uhibbukafillah, jiddan jiddan...buatmu sahabat

cerpen yang sangat menarik untuk dikongsi..
sumber: http://ms.langitilahi.com

Sedih. Aku tidak tahu mengapa. Tetapi suasana kelam itu mengundang rasa sedih di dalam hatiku. Kulihat Ariff menangis teresak-esak. Fawwaz dan Munsyi duduk menunduk wajah yang sugul. Di sekeliling mereka bertiga, kebanyakan rakan-rakanku di Jordan ini turut hadir. Semuanya mempunyai gaya masing-masing. Namun gaya mereka semua bersatu atas satu perkataan. Sedih.

Tiba-tiba aku rasa takut.

Seakan-akan suasana itu meragut jiwaku.

“Semoga ALLAH rahmati arwah” Presiden MPPM Jordan, Abang Dzulkarnain berkata dalam keadaan matanya yang kemerahan.

Arwah?

Ada orang meninggal kah?

Tiba-tiba aku nampak wajah Toriq, sahabat karibku. Wajahnya pucat lesu. Kenapa? Dia kaku sahaja tanpa suara. Matanya terpejam.

Adakah….

****

Aku memandang wajah Toriq. Wajah itu tidak sama seperti wajah yang kelihatan dalam mimpiku. Wajahnya kini hidup, ceria, penuh cahaya. Wajah yang aku tidak pernah rasa sugul bila memandangnya. Namun hari ini, keresahan aku tidak hilang dengan memandang wajah bersih itu. Malah, semakin bertambah gelisah.

“Ni kenapa gaya nak makan orang? Dah tranformasi jadi Godzilla?” Toriq tersenyum-senyum.

“Jalan pandang depan la” Aku memuncungkan bibir ke hadapan, ke arah jalan raya. Kami kini sedang berada di hadapan sebuah pasaraya, yang bertentangan dengan pintu gerbang universiti kami. Antara pasaraya dengan pintu gerbang universiti, ada jalan raya yang besar untuk kami lintasi.

Senior-senior sentiasa berpesan agar kami berhati-hati kerana orang arab biasanya memandu dengan laju. Kadangkala, kita tidak dapat menjangka bagaimana mereka memandu. Aku yang pernah naik teksi dan coaster di Jordan ini, memang rasa macam nak tercabut jantung dengan cara pemanduan mereka. Menggerunkan.

“Uih, garangnya. Ni boleh jadi Godzilla sungguh ni” Toriq terus melangkah.

Tiba-tiba mataku menangkap sebuah kereta yang bergerak dalam keadaan laju.

Pantas wajah pucat Toriq dalam mimpiku menjengah. Kata-kata Abang Dzulkarnain mengetuk kepala.

Arwah…

“Toriq!” Aku terus mencapai lengannya, menarik Toriq ke belakang semula. Kereta tadi terus bergerak membelah jalan raya.

“Kau nak mati ke? Jalan tak pandang kiri kanan?” Aku meninggi suara. Dapat kurasa wajahku tegang. Dada berdegup kencang. Bukan marah, tapi…

Toriq angkat kening. “Kau ni kenapa? Siapa tak nampak kereta tadi? Aku bukan nak melintas jalan raya. Aku baru je nak melangkah nak berdiri tepi jalan raya. Macam tak biasa pulak.”

Aku diam. Tadi, dia bukan nak melintas ke?

“Kau ni, sayang aku terlebih ni” Toriq ketawa kecil.

Muka aku merah. Aku terasa macam aku ini orang bodoh pula.

“Aku risau” Aku menjawab tanpa memandang wajah Toriq. Jalan raya sedang dipenuhi kenderaan yang lalu lalang. Kami masih belum ada peluang untuk melintas.

“Risau? Terharu seh” Toriq memaut bahuku dengan lengannya. Dia masih ketawa.

Aku diam sahaja. Mana aku tak risau? Aku mimpi kau mati!

Tidak lama kemudian, kami mendapat peluang melintas jalan. Toriq melangkah dahulu. Aku pantas bergerak agar langkah kami seiring. Pantas tangan kananku memegang tangan Toriq, memimpinnya seperti memimpin anak kecil melintas jalan.

Sampai sahaja di pintu gerbang Univeristi Yarmouk, aku perasan Toriq memandangku. Tapi aku senyap sahaja. Beberapa orang di tepi jalan tersenyum-senyum memandang kami. Memang, nampak pelik kalau lelaki berpimpin tangan dengan lelaki.

“Kau tak sihat?” Suara Toriq agar kerisauan dengarnya.

Aku melepaskan tangannya semasa melepasi pintu gerbang. Geleng kepala.

Aku perlu bagitahu kah mimpi aku?

“Kalau kau ada masalah, bagitahu aku”

Toriq, memang sahabat yang baik. Sahabat aku yang terbaik. Tapi sekarang, bukan aku yang bermasalah. Masalahnya adalah kau, Toriq. Aku rasa macam kau akan ditarik pergi. Aku tidak mahu kau pergi!

“Tiada apa-apa”

Toriq tersenyum semula. Wajah cerianya kembali bercahaya. “Kau tengah angau dengan sesiapa ke?” Tangannya mencuit pinggangku.

“Banyak la kau”

****

Orang kata, kalau ada manusia nak dekat mati, biasanya dia akan ada tanda-tandanya. Tapi, selalunya tanda itu tidak akan kita perasan, melainkan selepas dia mati. Contoh yang biasa didengari adalah seperti ajak makan makanan kegemaran tapi dia makan tak habis. Contoh lain yang biasa aku dengar, arwah akan sering berkata berkenaan mati sebelum kematiannya.

“Agak-agak, umur kita ni berapa panjang lagi?”

Hampir tersembur air yang sedang kuteguk. Terkejut. Aku membesarkan mata, memandang Toriq.

“Mati-mati jangan sebut lah” Aku menegur.

Toriq tersengih. “Kenapa pulak? Mati tu bila-bila. Apa salahnya ingat mati. Mati selalu ingat kita”

Aku menghela nafas. Betul. Malah, mengingati mati adalah antara pencuci kekaratan di dalam hati.

Rasulullah SAW bersabda: “Hati itu akan berkarat seperti karatnya besi” Sahabat-sahabat pun bertanya bagaimana untuk membersihkannya. Rasulullah SAW menjawab: “Membaca Al-Quran dan mengingati mati”

“Tak ada la, hilang keindahan pagi ni” Aku memberikan alasan. Kemudian memandang mentari pagi yang redup di sebalik awan.

Sekarang Subuh pukul 3.40 pagi. Malam sudah menjadi pendek kerana musim panas. Antara hobi aku dan Toriq masa musim panas ini adalah duduk di atas sutuh dan berehat sambil memerhatikan mentari naik. Kami akan membaca Al-Quran dan kemudiannya bersarapan bersama-sama.

“Kalau aku mati, macam mana agaknya kau?” Soalan itu, mengundang pusingan pantas dari kepalaku.

Pantas aku meluku kepalanya.

“Aduh, kenapa?” Toriq menggosok-gosok kepalanya. Memandang aku dengan kehairanan.

“Degil ya. Kan aku dah cakap jangan rosakkan mood pagi ni” Aku cuba bergaya selamba.

Toriq mencemikkan muka, kemudian terus menyambung sarapannya.

Suasana senyap sebentar. Aku terus menghabiskan air. Cawan kuletakkan. Toriq tekun dengan makanannya. Aku rasa bersalah pula.

“Kalau kau tak ada…” Perlahan-lahan aku bersuara.

Toriq mengangkat kepala. Mata kami bertentang. Suasana senyap kembali. Kemudian Toriq mengangkat kening, isyarat agar aku meneruskan kata-kata.

“Aku akan rasa amat amat amat sedih” Suaraku perlahan.

Perlahan-lahan senyuman Toriq terukir.

“Kenapa? Lawak ke?”

“Terharu seh”

“Banyak la kau punya terharu”

“Aku saje je nak tengok kau sayang aku tak” Toriq angkat kening dua kali. Kemudian dengan selamba meneruskan sarapan.

“Ceh” Buat aku risau aje. Aku memandang langit kembali. Semakin cerah. Baru pukul 6.00 pagi, sudah seperti pukul 8.00 pagi di Malaysia.

Adakah hidup akan sentiasa cerah seperti keadaan sekarang?

****

Hah!

Aku terbangun lagi. Mimpi itu datang lagi. Wajah teman-teman yang sugul, ada yang menangis, ucapan Abang Dzulkarnain dan berakhir dengan wajah Toriq yang terpejam kehilangan seri.

Aku beristighfar berulang kali. MasyaALLAH… Perasaan takut menyerang.

Tubuhku rasa hangat. Kusentuh dahi, terasa basah. Aku berpeluh.

Semakin lama, aku terasa seakan-akan mimpiku akan menjadi kenyataan.

Mimpi yang sama datang dan datang lagi.

Ya ALLAH…

Kulihat jam pada telefon bimbit. 2.45 pagi. Aku terus bangun dan menuju ke tandas. Gosok gigi, dan membasuh muka. Kemudiannya aku mengambil wudhu’. Aku hendak solat tahajjud.

Semalam, Toriq mengadu kepadaku bahawa dia sakit. Dia rasa lemah-lemah badan. Hidung pula sentiasa berdarah.

Aku amat risau. Aku telah membawanya berjumpa doktor pada waktu malam, tetapi doktor hanya berkata bahawa itu keadaan biasa apabila perubahan cuaca. Memang biasanya pada musim panas, badan akan terasa lebih lemah dan kadangkala untuk beberapa orang, darah akan keluar dari hidung.

Keterangan doktor tidak membuatkan aku lega. Mungkin aku juga akan menganggap ini biasa, kalau aku tidak didatangi mimpi aneh itu. Tapi, setelah berulang kali mimpi itu hadir, aku rasa teramat risau. Adakah pemergian Toriq memang tidak dapat dielakkan? Adakah mimpi aku itu, benar-benar satu kepastian?

Aku menangis dalam sujudku.

Ya ALLAH, sesungguhnya KAUlah yang menguasai nyawa, maka panjangkanlah nyawa sahabatku itu!

****

“Nama aku Toriq. Yoroshikuu” Dia menghulurkan tangan.

Yoro… shiku? Bahasa Jepun apabila memperkenalkan diri, atau meminta seseorang melakukan sesuatu.

“Pelajar JUST?” Nama universiti untuk pelajar perubatan dan pergigian di Irbid kusebut.

Semua orang disekelilingnya ketawa.

“Aku dah kata dah, kau ni tak ada rupa pelajar Yarmouk” Bahunya ditepuk kawan di sisi.

Dia ketawa juga. “Aku pelajar Yarmouk. Macam kau juga. Kita sama baya la. Cuma aku sampai sini seminggu awal”

Aku tersengih. Pandangan pertama aku, pelajar bernama Toriq ini adalah seorang yang suka lepak-lepak, gaya happy go lucky dan ada aura anak orang kaya.

Sekejap sahaja. Sudah dua tahun berlalu. Tanpa aku sangka, pelajar yang aku ingat suka lepak-lepak, gaya happy go lucky, dan ada aura anak orang kaya itu adalah sebenarnya jauh dari sangkaan aku. Gayanya memang ceria, tetapi Toriq adalah seorang yang serius pada tempatnya. Dia rupanya bukan anak orang kaya. Dia sederhana sahaja seperti aku. Tetapi dari segi pelajaran, Toriq jauh melebihi aku. Dia antara yang tergenius di dalam Universiti Yarmouk. Hatta pensyarah pun menyayangi dia.

Akhlaknya baik dan bersih. Tidak pernah menyakitkan hati orang. Malah Toriq yang mengajak aku untuk mengikuti usrah yang dijalankan oleh Iktilaf Islami, kumpulan persatuan ISLAM orang arab di Universiti Yarmouk.

Toriq Sentiasa berbahasa yang menyenangkan, dan semua orang di kawasan Irbid ini menyukainya. Dan semestinya, Toriq ramai peminat dari kalangan pelajar perempuan.

Dan tanpa aku sangka juga, pelajar yang aku ingat suka lepak-lepak itulah yang menjadi sahabat karib aku sepanjang berada di Jordan ini. Kami tinggal serumah dari tahun pertama dengan tiga orang pelajar JUST, iaitu Ariff, Fawwaz dan Munysi.

Malah, kami adalah pasangan setter dan spiker yang digeruni di Universiti. Aku spiker dan dia sebagai setter. Kami berdua suka juga buat video macam Anas Tahir dan Akbar, tapi tak adalah merapu sangat macam mereka. Kami buat video tazkirah. Antara projek dakwah aku dan Toriq.

Aku, memang amat sayang dengan Toriq.

Sayang kerana ALLAH. Ukhuwwahfillah. Toriq yang kenalkan aku dengan benda-benda tu. Dia yang kenalkan aku akan hakikat ISLAM, hakikat iman. Sedikit demi sedikit dia mencerahkan kefahaman aku berkenaan makna kehidupan. Hinggalah sampai satu tahap, dia mengajak aku mengikuti usrah untuk pemahaman yang lebih tersusun.

Walaupun aku adalah seorang pelajar sekolah agama sebelum berkenalan dengan Toriq lagi, tetapi selepas dia menunjukkan aku semua itu, baru aku nampak bahawa aku telah silap meletakkan agamaku. Selama ini, aku hanya nampak ISLAM ini sebagai agama sahaja. Aku nampak ISLAM ini pada pelajaran. Aku nampak ISLAM ini untuk aku lulus cemerlang dan mendapat kerja dalam kehidupan.

Tapi rupa-rupanya, ISLAM ini lebih daripada itu. Seluruh kehidupan itu sendiri sebenarnya perlu berada di dalam ISLAM. Hal ini kerana, ISLAM itu syumul, meliputi segala perkara. Semua itu aku fahami, hanya selepas aku mengenali Toriq. Perlahan-lahan, dialah yang memimpin aku.

Sebab itu, aku amat menyayanginya.

“Ni kenapa tengok aku macam aku dah nak mati je ni?” Toriq memandang kepadaku.

Aku tersedar dari lamunan panjang. Perkataan ‘mati’ membuatkan aku sedikit rasa tidak senang.

“Kau sakit, aku tengok-tengokkan la” Aku menjawab selamba.

Toriq tersenyum. “Kut la nak ubatkan”

“Aku bukan doktor lah”

“Da’ie, doktor pada ummah seh”

Kata-kata Toriq mengoyak sengihku. “Masalahnya, kalau bab sakit macam kau ni, da’ie tak boleh nak ubatkan. Doktor la kena bagi ubat”

Toriq menggeleng. “Da’ie, perlu beri harapan kepada pesakit macam aku ni, untuk menjalani ujian sakit itu dengan penuh keimanan”

Aku tersenyum. Ada-ada sahaja. Tak mahu kalah juga.

“Jadi, bersabarlah kau dengan ujian ni. Ini baru sakit sikit. Kemungkinan, ALLAH akan uji dengan benda yang lebih besar”

“Apa agaknya benda yang lebih besar tu?”

“Aku kahwin dengan orang yang kau suka”

Terkeluar tawa kami berdua.

“Berani la” Toriq menunjuk penumbuk.

“Joke man, joke”

Toriq mengangguk. Aku tahu, dia faham. Kami bukan sekali dua bergurau. Entah, sudah kali ke berapa ribu kami bercanda. Kadang-kadang, tanpa bersuara pun, aku seakan dapat menjangka perasaannya, dan dia pula seakan dapat menjangka keadaan aku.

“Aku rasa, aku dah hampir sihat dah ni” Toriq memegang dahinya.

“Kau rehat cukup, okaylah kut”

“Darah pun dah tak keluar dah sehari dua ni”

“Esok boleh pergi kuliah”

“Kau mesti sepi pergi kuliah sengsorang”

“Bajet macam aku ni jiwang plak”

“Ha ha…”

Senyap sebentar selepas itu. Tiga hari ini, aku la yang menjaganya. Ahli rumah lain agak sibuk kerana mereka pelajar perubatan. Pelajar agama di Yarmouk memang agak banyak masa lapang.

“Tapi, memang sepi pun tak ada kau”

“Ha… introducing, mamat jiwang Irbid, Rasyid!”

“Banyak la” Aku menolak Toriq. Kami ketawa lagi. Nampaknya, Toriq memang benar-benar sihat.

Aku rasa lega.

Mungkin, mimpi aku itu hanya mainan sahaja.

Mungkin, aku ini terlalu banyak fikir.

“Hei Toriq” Aku memandang Toriq. Mata kami bertemu.

“Em?” Keningnya terangkat sebelah. Gaya kebiasaan.

“Uhibbukafillah, jiddan jiddan” Aku cintakan kamu kerana ALLAH sangat-sangat.

Toriq senyap sebentar. Kemudian ketawa.

Aku hairan. Kenapa?

“Kau memang dah jadi mamat jiwang seh. Gaya macam nak tinggal aku jauh je”

Aku tersengih. Aku yang takut kau tinggal aku jauh. Aku yang tak mahu kau pergi jauh tinggalkan aku.

Kemudian tawa Toriq mengendur. Dia memandang aku.

“Uhibbukafillah kaman” Aku cintakan kamu kerana ALLAH juga.

Aku tersenyum.

Hati lapang.

****

Aku terbangun.

Aku tidak tahu sama ada aku patut tersenyum, atau terus bimbang.

Aku bermimpi mimpi yang sama. Tetapi, mimpiku bertambah. Semuanya sama, hingga ketika wajah pucat Toriq yang terpejam matanya. Namun, kali ini, sebelum berakhir, mata Toriq yang terpejam itu, terbuka, dengan mata yang bergenang.

Adakah ini tandanya, dia tidak akan mati?

Ataupun, adakah ini tandanya, Toriq hanya berada dalam kesedihan?

Aku tidak tahu.

Ya ALLAH, lapangkanlah kehidupan sahabatku Toriq, permudahkan segala urusannya, ampunkan segala dosa-dosanya….

Aku berdoa.

Semoga ALLAH pelihara sahabatku Toriq.

Sekurang-kurangnya, dalam diriku sekarang, ada perasaan bahawa, Toriq tidak akan pergi meninggalkan aku.

Tapi…

****

Kehidupanku seakan kembali seperti biasa. Berjalan ke Universiti Yarmouk bersama sahabat tercinta, Toriq.

Pagi tadi, selepas bersarapan, aku teringat akan ibuku. Aku bersembang lama juga. Sempat berkirim salam kepada semua keluarga. Agak lama juga tidak menghubungi mereka.

“Ni kenapa muka macam orang baru kahwin ni?”

Aku tersengih. Sebab aku senang hati. Aku dapat telefon ibuku pada pagi hari, dan sahabatku kembali sihat. Malah, aku dapat rasa bahawa kerisauanku macam beterbangan hilang. Mungkin selepas aku kembalikan bahawa, hidup dan mati itu susunan ALLAH.

Semalam, sebelum tidur, aku bermuhasabah.

Mungkin, kalau benar mimpi-mimpi aku selama ini benar adalah tanda bahawa Toriq akan ditarik pergi, maka aku pun tidak akan mampu menghalang kehendaknya. Mati itu adalah urusan-Nya. Kita tidak boleh mengelak, jauh sekali hendak melarikan diri. Cuma, tugas kita adalah hidup dengan nyawa yang masih ada, dan cuba menjaga diri sebaik mungkin.

Setiap yang bernyawa akan mati. Tiada keraguan akan hal itu. Maka tidak perlu dipertikaikan. Pokok persoalan sekarang adalah, bagaimana kita menjalani kehidupan.

Dikejutkan mimpi semalam, aku solat tahajjud, solat taubat dan melakukan solat hajat. Aku mendoakan agar aku termasuk dari kalangan yang beriman dan diberi rezeki untuk masuk syurga. Aku berharap agar, aku termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat redha ALLAH. Aku juga mendoakan semua ahli keluargaku, dan rakan-rakanku. Semestinya, aku tidak lupa mendoakan sahabatku Toriq.

“Weh, jawab la. Mimpi jumpa bidadari ke?” Toriq menolak bahuku.

Aku menggeleng. Aku mimpi kau hidup. “Mana ada apa-apa”

Aku terus berjalan. Toriq menepuk-nepuk belakang tubuhku. “Takpe…”

“Jangan ambil hati seh” Aku meniru ‘seh’ yang selalu diucapkannya.

“Aku ambil jantung je seh” Toriq membalas canda.

Kami ketawa.

Kami sampai di tepi jalan raya.

“Tak sibuk seh pagi ni”

Aku mengangguk. Walaupun ada kenderaan lalu lalang, tapi tidak sesibuk seperti biasa.

Toriq terus melintas. Aku mengikuti dari belakang.

Poooooooooonnnnn!!!!

Aku menoleh. Sebuah coaster bergerak laju ke arah kami. Mataku membesar. Spontan aku menolak Toriq dengan kuat. Sahabatku itu terkeluar dari jalan raya.

Jarak coaster denganku tidak lebih dari sedepa.

Ketika ini, keadaan sekeliling aku seakan menjadi perlahan. Aku sendiri jadi pelik. Aku sempat memandang Toriq yang hendak membuka mulut untuk mejerit.

Aku sempat pula teringat akan mimpiku.

Tangisan ahli rumah, kesugulan kenalan-kenalan di Jordan, kata-kata Abang Dzulkarnain, kemudian wajah pucat Toriq dengan mata terpejam yang akhirnya terbuka dalam keadaan mata bergenang.

Patutlah…

Aku tersenyum.

“Oh, rupanya bukan Toriq. Tetapi aku…”

Alhamdulillah. ALLAH Maha Besar. Ternyata ilmu berkenaan kematian ini tidak tersampai pada insan untuk menjangkanya.

BAM!

Seluruh alam macam berputar berulang kali.

Dan yang terakhir aku dengar adalah suara jeritan Toriq yang panjang, sebelum segalanya menjadi gelap, dan senyap.

ALLAH… Aku naik saksi bahawa tiada ILAH selainMU, dan Muhammad itu adalah RasulMU.

Toriq…

Aku yang pergi dahulu.

p/s- sahabat ku sekalian...maafkan diriku andai aku pergi dulu....aku harap masalah yang timbul ini akan selesai cepat...ketahuilah teman, aku menyayangimu...tak terniat di hatiku untuk membenci mu....

Wednesday, April 14, 2010

Lelaki Zaman Ini.....


Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Payah untuk kutemui
Yang benar-benar sibuk
dengan urusan baiki diri
Yang ada kini hanya
Sibuk dengan urusan mengumpul dunia
Walau diketahui dunia ini hanya penuh tipu daya

Keberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Susah untuk kutemui
Yang benar-benar takut pada Ilahi
Sentiasa mendambakan kasih Ilahi
Yang ada hanya mengharapkan kasih insani
Yang melalaikan orang dan diri sendiri

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Sukar untuk kutemui
Ahli profesional yang bertaqwa
Yang benar-benar meletakkan Islam dijiwa
Menggunakan profesionnya sebagai matlamat keakhirat sana
Yang ada hanya ahli profesional yang lalai dan leka
Yang hidupnya lebih berat dari barat
Ibadah dan amal terasa amat berat

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Payah untuk kutemui
Yang sentiasa bergelumang dengan majlis ilmu yang bermanfaat
Yang sanggup bersusah dan penat
Dalam mengejar dan memahami ilmu yang berkat
Yang ada kini hanyalah berbangga dengan ijazah yang ada
Tapi ilmu fardhu ainnya kosong belaka

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Susah untuk kutemui
Yang suka berbincang tentang ilmu akhirat
Syahid yang sentiasa menjadi matlamat
Mensyiarkan Islam dan menjunjung syariat
Yang ada cuma menghidupkan sunnah barat
Dan melupakan kehidupan akhirat

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Sukar untuk kutemui
Yang sentiasa bermunajat dan berzikir
Sentiasa bertafakkur dan berfikir
Sunnah Rasulullah cuba dipahat dan diukir

Namun kutetap berfikir..
pasti masih ada lagi
Lelaki diakhir zaman ini
Seperti yang kufikir..

sumber web...








Friday, April 9, 2010

MANUSIA itu KEJAM??????

kisah nie ana ambil kat buletin notes usm...

unutk kite jadikan pengajaran sesama makhluk ciptaan allah...

selamat membaca




............................................


Salam, sekadar berkongsi cerita yg diterima untuk renungan bersama:



Maafkan saya kerana saya tidak bijak mengarang. Saya bukan penulis. Apa yang saya ingin ceritakan pun hanyalah tetang monyet,haiwan yang sering jadi bahan sendaan kita, bukannya tentang wang, saham, barang kemas, kekasih yang jelita mahupun banglo besar. Saya tidak bijak bercerita tentang itu.

Baru-baru ini saya ke Negeri Sembilan untuk mengunjungi rumah seorang saudara.Sewaktu kereta melalui hutan rekreasi Hulu Bendul di Kuala Pilah, nun di depan sana,saya lihat ada sekumpulan monyet mundar-mandir di sisi jalan yang sibuk. Ia seperti terburu-buru untuk melintas.

Saya terus memandu dan sewaktu kereta semakin hampir,saya terkejut kerana ada seekor monyet menggeletik di atas jalan. Ia baru dilanggar salah sebuah kereta di hadapan saya. Pantas saya menekan brek dan memperlahankan kereta.

Kereta semakin hampir dan dada ini berdebar apabila melihat monyet itu terus menggelupur dan menghempas-hempas ke atas jalan. Kakinya terketar-ketar. Di sisinya ada darah dan cebisan daging.

Tapi paling menyentak perasaan saya ialah apabila melihat perutnya yang buncit itu terburai, dan dari celah luka besar itu tersembul sesuatu berwarna kelabu. Tahukah pembaca, benda apakah yang saya lihat itu?

Benda kelabu itu adalah anak yang masih dalam kandungannya! Pada ketika itu saya terasa tubuh ini menggeletar. Saya pasti, si ibu monyet tadi akan mati sebentar lagi. Begitu juga dengan anaknya,nyawanya melayang sebelum sempat melihat wajah ibu.

Sebaik melintasinya, saya pandang cermin sisi dan belakang. Saya nampak kawanan monyet tadi bercempera. Ia berlari-lari mendapatkan si ibu tadi, tapi kemudian bertempiaran semula ke tepi jalan kerana hampir saja dilanggar kenderaan yang lalu-lalang.

Mungkin kepada pembaca sekalian, apalah ada pada nyawa seekor monyet. Ia hanya monyet. Haiwan hodoh. Hidupnya di hutan, tidak setaraf dengan manusiawi.

Tapi tidak kepada saya. Pulang bercuti, saya terus catatkan surat ini, kerana peristiwa yang saya sebutkan tadi sebenarnya telah mengingatkan saya kepada sebuah peristiwa yang berlaku pada awal 1990-an.

Ketika itu usia saya masih di awal 20-an. Hari itu, saya diajak oleh seorang bapa saudara untuk memburu di hutan berhampiran rumah. Saya bukanlah minat memburu, tapi daripada bosan terperap di rumah, saya terima ajakan bapa saudara saya tadi.

Masih saya ingat, beberapa jam berburu,matahari pun sudah meninggi, tapi tiada seekor haiwan pun melintas di hadapan kami. Pelanduk, napuh, rusa, ayam hutan dan burung yang selalu berlegar di hutan itu, seolah-olah bersembunyi jauh dari kami. Hutan itu sepi.

Saya bertambah rimas, pak cik pula saya lihat mula kecewa. Hari kian beranjak petang, pak cik menepuk-nepuk senapang Relanya. Kata pak cik,

"Kita balik ajalah, hari ni tak ada apa-apa.Mungkin esok ada habuan."

Kami berjalan pulang, tapi selang dua tiga puluh langkah, kami terdengar suara riuh-rendah di sebalik pokok-pokok besar di hadapan kami. Saya mengamati suara itu, ternyata ia datang dari sekawan monyet yang sedang memakan buah-buah hutan.

Saya perhatikan pak cik begitu berminat memerhatikan haiwan itu. Di bibirnya ada sebaris senyuman. Senyuman yang saya faham benar maksudnya.

Adakah pak cik hendak menembak monyet-monyet itu?

"Haa. Pak cik nak tembak ibunya, lepas tu pak cik nak ambil anaknya, nanti boleh bela," begitu jawapan pak cik.

Masih saya ingat juga, saya beberapa kali mendesak pak cik supaya membatalkan hasratnya itu, tapi gagal. Saya gagal mengendurkan niatnya.

Tidak akan saya lupa kata-kata pak cik petang itu:

"Daripada balik tangan kosong? "

Lalu dia mengacukan senapangnya ke arah kawasan monyet tadi, dan ?

DAMMM!!!

Demi berdentum saja senapang, bercempera dan lintang-pukang monyet- monyet tadi menyelamatkan diri. Hutan itu riuh dengan bunyi ranting patah serta jerit pekik haiwan berkenaan.

BUUUPP! Ada suatu benda yang jatuh ke tanah.

Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh berdekatan kami. Saya dan pak cik terus mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran darah pekat. Anaknya yang tidak mengerti apa-apa terlepas dari pelukan, tercampak tidak jauh dari ibunya sambil menjerit-jerit.

Si ibu merengus-rengus memanggil anaknya dengan lemah. Ia cuba bangun. Dengan bersusah payah sambil tangannya mencapai akar-akar pokok untuk mendekati anaknya. Sebelah tangan lagi menekap perut yang masih berdarah.

Ia berusaha melangkah tapi terjatuh semula. Digagahi lagi sambil berguling-guling ke arah anaknya. Si anak yang baru pandai berjalan jatuh, bangun mendapatkan ibunya.

Si anak itu terus saja memeluk ibunya yang kesakitan. Masih terbayang jelas di ingatan saya bagaimana si ibu monyet tadi memegang tubuh dan menatap wajah anaknya puas-puas, kemudian dicium berkali-kali. Setelah itu dibawa si anak ke dada lalu disuakan susunya.

Saya dan pak cik terdiam melihat si anak menghisap susu manakala ibunya mengerang-ngerang perlahan seakan memujuk sambil menahan sakit. Hati saya tersentuh. Betapa si anak yang baru melihat dunia tidak tahu bahawa ibu tempat dia bermanja akan pergi buat selama-lamanya.

Saya tidak mampu menyelami fikiran ibu monyet tadi, tapi mungkin ia ingin memeluk anaknya buat kali terakhir, sepuas-puasnya, kerana selepas ini ibu akan pergi.

Ibu tidak akan dapat memelukmu lagi apabila kau kesejukan, menyuap mulutmu bila kau merengek kelaparan, juga melindungimu bila kau kepanasan.

Mata si ibu monyet itu memandang ke arah kami. Tangannya memeluk erat si anak seolah-olah enggan melepaskannya, biarlah ia mati bersama anaknya.

Matanya saya lihat digenangi air, masih tidak lepas memandang kami dengan pandangan sayu, mungkin ingin menyatakan betapa kejamnya manusia.

Dosa apakah yang aku lakukan hungga aku ditembak? Salahkah aku bebas ke sana ke mari di bumi indah ciptaan Allah ini? Tubuh ibu monyet itu berlumuran darah, begitu juga dengan si anak yang masih di pelukannya.

Beberapa detik kemudian, dengan tenaga yang masih berbaki, kami lihat si ibu mencium anaknya untuk ke sekian kalinya. Perlahan-lahan tubuhnya terkulai ditanah, bisa penabur dari muncung senapang pak cik tadi tidak dapat ditanggung lagi.

Si anak menjerit-jerit memanggil ibunya supaya bangun dan melarikan diri dari situ, tapi si ibu sudah tidak bernyawa lagi. Puas menjerit, si anak tadi menyusu semula.

Di saat itu perasaan saya terlalu sebak. Saya perhatikan pak cik, dia beberapa kali menggetap bibir cubamenahan air matanya daripada tumpah ke pipi.

Tapi bila melihat si anak monyet tadi menjerit dan menggoncang- goncang tubuh ibunya, akhirnya air mata kami tumpah juga. Saya betul-betul kesal dengan apa yang berlaku.

Suasana sunyi kembali. Si anak monyet itu kami rangkul dan bawa pulang. Biarpun ia terus menjerit-jerit dan enggan berpisah dengan ibunya yang telah mati.

Di dalam kereta saya hanya mendiamkan diri. Begitu juga pak cik. Pada ketika itu saya dapat merasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh satu nyawa yang tidak berdosa. Biarpun monyet itu hanya haiwan yang hodoh, tapi mereka juga ada perasaan, ada rasa kasih kepada anak, rasa sayang kepada ibu. Tapi kita manusia??

Mana hilangnya akal waras kami?

Selang dua minggu kemudian, anak monyet tadi mengikut jejak ibunya. Pak cik memberitahu saya, anak monyet itu tidak mahu makan dan asyik menjerit-jerit sahaja. Mungkin ia rindukan ibunya. Apabila malam, keadaannya bertambah teruk, dan akhirnya mati.

Kini saya sudah bekerja dan berumah tangga. Peristiwa tadi sudah saya ceritakan kepada anak dan isteri saya agar mereka mengerti bahawa haiwan juga punya perasaan. Yang kejam adalah manusia, walaupun kitalah satu-satunya makhluk yang Tuhan anugerahkan akal fikiran.

Tidak lupa saya memberitahu mereka betapa agung dan sucinya kasih sayang ibu.

p/s- khas buat perempuan yang ada terniat untuk buang bayi...haiwan pun ada perasaan pada anak nya....kalau dah terasa diri tak tahan sangat kawen la cepat2....dan khas buat ibu-ibu di dunia...kami anak-anak mu menyayangi dan mencintai mu, besar pengorbanan mu buat kami...MA,an ayang ma...love u so much...

beruntungnya kita.....

Sekadar renungan.... ........buat peringatan buat diriku yang sering terlepas pandang. Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya berdindingkan buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu ada beberapa anak kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun:

"Mana emak? "
"Mak pergi menoreh," jawabnya.
"Mana bapak?"
"Bapak pergi kerja..."
"Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang bayi dalam lingkungan umur 5 bulan.
"Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan.
"Awak ada berapa orang adik-beradik? "
"Sepuluh."
"Adik ni yang ke berapa?"
"Saya yang kelapan."
"Mana abang-abang kamu pergi?"
"Tolong emak menoreh."
"Adik puasa hari ini?"
"Sama je pakcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..." Jawabnya.
Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu.
Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?"
"Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..".
"Bapak kerja apa?"
"Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk bukak puasa ".

Budak itu memberi tahu, lebih baiklah bulan puasa berbanding bulan lain kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang hantar. Aku berlalu dari situ dengan seribu-satu keinsafan. Kebetulan di simpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan.. Aku beli satu kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu. Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat kegembiraan sambil menjerit "Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam ni..!". Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia memberitahu aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang makan daging lembu sekali lagi. Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka. Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar: Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu.

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah Pakcik.."

Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu boleh tahan sampai satu minggu? Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu,dia telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang yang telah dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari. Dia berkata

"Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun dah lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat."
Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?"
"Cuma RM3.00 sehari."
"Ayahnya bekerja macam mana"
"Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari."

Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan mewah..
Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula sepanjang hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"? Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalau pun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita.

ucaplah alhamdulillah tanda syukur kita terhadapa segala nikmat kurniaan yang kiter terima selama ini...janganlah ada diantara kita kufur nikmat kerana itu adalah hak Allah dan dia berhak menarik kembali segla nikmat yang kita perolehi selama ini....

Monday, April 5, 2010

Perancangan jahat.....


Sejadah. Ye sejadah yang kita gunakan setiap hari untuk mengalas tempat kita bersembahyang. Di sini saya hanya mahu berkongsi gambar sejadah yang mempunyai unsur-unsur Masonic yang telah dikongsikan oleh seorang sahabat dan informer saya, Muzamil.

Berdasarkan dari gambar Master Carpet Freemason di atas, kita boleh ambil ciri-cirinya iaitu:

1. Lantai petak (Checkered Floor)
2. Bintang dan Bulan
3. 2 tiang yang juga dikenali sebagai Joachim dan Boaz

Perhatikan sejadah di atas, ia juga mempunyai 3 ciri yang saya nyatakan iaitu bintang dan bulan, lantai berpetak (checkered floor) dan 2 tiang.
GAOTU (Great Architect Of The Universe), All Seeing Eye dan tiang Joachim Boaz

Jika kita perhatikan sejadah di atas secara betul-betul dan teliti kita akan perasan 2 tiang iaitu tiang Joachim dan Boaz, All Seeing Eye dan GAOTU yang tergantung di antara 2 tiang. All Seeing eye anda boleh jumpa di tengah antara 2 tiang. Cuba anda bandingkan sejadah di atas dengan gambar di lodge Freemason di bawah.

Perhatikan GAOTU yang tergantung di logde Freemason di atas. Ada persamaan dengan gambar yang tergantung di sejadah di atas. Dan jika anda zoom kan gambar di logde Freemason tersebut, anda akan jumpa lambang bulan dan bintang di sisi jangka lukis. Ini membuktikan bahawa Masons menggunakan lambang ini sebagai salah satu lambang mereka dan lambang ini bukanlah lambang agama Islam yang suci ini.

Di sini saya tolong zoom kan gambar-gambar tersebut. Perhatikan lambang Bulan dan Bintang yang jelas kelihatan di sisi jangka lukis dan bandingkan GAOTU yang tergantung di sejadah dan di lodge.


Inilah perancangan jahat Yahudi dan Nasrani yang ramai antara kita tidak perasan dan sedar. Walaupun dengan perkara sekecil ini, mereka tetap menjalankan rancangan jahat mereka. Diharap kita semua lebih berhati-hati dan peka selepas ini dalam kehidupan seharian.


Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Islam).
Al-Baqarah 109