Sunday, May 30, 2010

wahai lelaki......

sumber: http://ms.langitilahi.com
penulis : Hilal Asyraf

Sepanjang kehidupan saya, saya ada jumpa pelbagai jenis lelaki. Tapi, yang menariknya, sepanjang hidup saya ini juga, saya sukar hendak berjumpa lelaki yang tidak teruja kepada perempuan.

“Ini fitrah la bro, fitrah”


Ya. Sebab fitrah lelaki, pasangannya mesti adalah perempuan. Dua jantina ini macam magnet kutub utara kutub selatan. Saling tarik menarik.

Hal ini menyebabkan kita boleh melihat, golongan-golongan lelaki yang akan bersiul bila perempuan cantik lalu, ada pula yang minta nak jalan sekali, kadang-kadang sengaja ambil tempat duduk di dewan kuliah sebelah perempuan dan berusaha bersungguh-sungguh nak buat perempuan itu bersembang dengannya.

Persoalannya, apakah
benar begitu caranya kita melayani fitrah kita?
Saya tidak nampak itu melainkan hanya gangguan.

Maka dalam post ini, saya hendak nyatakan kepada kamu wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan-perempuan ini.

Di dalam Surah An-Nur, ayat 30, Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Ayat selepas itu, ayat 31, Allah SWT berfirman pula kepada perempuan perkara yang sama:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka…”

Kenapa, Allah menegur lelaki terlebih dahulu dalam hal ini?

Kerana biasanya, dalam hal ini, lelaki yang akan tumbang terlebih dahulu. Lelaki kadang-kadang mudah jatuh dengan pandangannya. Dia mudah rasa teruja.

Sebab itu, kalau kita lihat, yang bersiul-siul adalah lelaki kepada perempuan. Saya tak pernah nampak lagi perempuan bersiul kepada lelaki. Sebab tu yang biasa dilihat adalah lelaki yang tanya kepada perempuan: “Boleh I duduk sebelah you?” Sebab itu juga yang biasa dilihat adalah lelaki yang offer: “Jalan sorang je, nak teman?”

Tetapi lihatlah apa pesanan Allah kepadamu wahai lelaki.

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)…”

Jika kamu beriman, maka kamu akan menundukkan pandangan kamu, dan menyekat nafsu kamu dari menguasai diri.

“Ini fitrah la bro. Kena cepat la mengorat. Nanti terlepas”

Ya. Saya akui itu fitrah. Saya tak nafikan. Saya tidak pernah menyalahkan fitrah itu. Tetapi, semua perkara ada caranya. Contohnya: Fitrah manusia adalah Islam. Tapi kita tidak boleh pakai hentam sahaja mengamalkan Islam. Ada cara solatnya, ada cara zikirnya, ada cara buat kebaikannya. Begitu juga dalam fitrah lelaki perempuan ini. Sudah ada batas-batas yang Islam tetapkan untuk kita.

“Kalau ikut batas-batas ni, lembab la bro. Kang orang kebas”

Hem… Lembab kah? Ya. Saya akui, memang lambat sikit kalau ikut jalan yang syara’ bagi.

Tapi, pernah dengar tak kata-kata: “Biar lambat, asal selamat”?

“Itu kat jalan raya la bro, masa memandu”

Ya, kita ni dalam ‘jalan raya’ hendak pulang kepada akhirat, dan kita sedang ‘memandu’ diri kita untuk pulang kepada Allah.

Islam sudah mengaturkan batas pergaulan lelaki dan perempuan. Ada step-stepnya kalau nak ambil perempuan jadi isteri. Kenapa semua itu Islam susun? Sebab nak jaga kemaslahatan manusia. Cuba kamu fikir, kalau kamu main mengorat je perempuan yang kamu jumpa, perempuan yang lalu depan kamu, perempuan yang kamu nampak cantik, banyak kebaikan atau banyak keburukan?

Mana kamu tahu perempuan tu single? Mana kamu tahu perempuan tu belum bertunang/kahwin ke? Sekali kamu mengorat, jatuh hati pula perempuan itu pada kamu, kan dah haru biru rumah tangga/hubungan perempuan itu dengan suami/tunangnya? Kamu dah rosakkan hidup orang. Kemudian, bila kamu mengorat-mengorat ni, nama kamu jadi baik ke? Atau orang akan cop kamu dengan pelbagai gelaran yang tidak menyenangkan? Kamu rosakkan pula diri kamu, dan kamu dah sia-siakan ibu bapa kamu yang membesarkan kamu dengan susah payah.

Tambahan, stylo mengorat ni, di mata saya pun, tak bersih langsung. Apa yang kamu nak harapkan dari jalan yang Allah larang? Ada ke keberkatan di dalamnya? Adakah Allah akan kira ‘mengorat’ kamu tu sebagai amal? Bagaimana kondisi iman kamu ketika mengorat? Ketika kamu bersiul-siul, offer itu ini, duduk sebelah perempuan, bagaimana hubungan kamu dengan Allah?

“Ala bro, nanti bila dah dapat, dah kahwin, kita taubat la”

Adakah sebuah rumah itu, akan bertahan lama dengan bahan binaan yang tidak berkualiti? Adakah sebuah rumah itu cantik, dengan hiasan-hiasan kotor? Dan belum tentu lagi, kita ‘mampu untuk bertaubat’ atau ‘sempat untuk bertaubat’ atau ‘teringat untuk bertaubat’ nanti.

Jangan sempitkan pandangan kamu wahai lelaki. Jangan gopoh mengejar masa hadapan. Kita tidak mahu masa hadapan yang lekeh. Kita tak mahu mendirikan hubungan kita dengan perempuan hanya kerana suka, hanya kerana dia cantik, hanya kerana tak tahan nafsu. Apa yang kamu hendak buat bila cantik perempuan itu pudar nanti? Apa yang kamu hendak buat bila kamu tidak lagi bernafsu dengannya nanti? Lebih besar lagi, apakah kamu rasa, dengan keadaan kamu, kamu boleh membawa pasangan kamu itu berdiri di hadapan Allah dengan baik?

Wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan-perempuan di hadapan kamu.

Jika kamu inginkan perempuan untuk menemani kamu, apa kata kita ambil jalan yang Islam tetapkan. Walaupun diakui agak lambat, tetapi jalan ini amat bersih. Jalan yang menjaga hati. Dalam masa kita mencintai perempuan itu, hubungan kita dengan Allah tidak terganggu. Mengambil jalan yang Islam tetapkan ini juga, menunjukkan keseriusan dan kematangan anda. InsyaAllah, Allah akan memberkati bukan setakat anda dan pasangan anda sahaja. Tetapi Allah akan berkati seluruh keluarga anda, harta anda, rezeki anda, keturunan anda, kerana anda telah memulakan perjalanan membina keluarga ini dengan jalan yang diredhai-Nya. Mustahil Allah akan membiarkan hamba-hamba yang taat kepada-Nya.

Apa yang ada bila kamu mengorat-ngorat? Apa yang kamu dapat? Kamu sebenarnya telah merosakkan diri kamu.

Malah, secara tidak langsung, kamu merosakkan nama keluarga kamu di mata manusia, merosakkan pula taraf lelaki di mata dunia, dan merosakkan akhirat kamu di hadapan-Nya.

Hentikanlah.

Seorang ibu ada menceritakan kepada saya perihal anak perempuannya di universiti.

Katanya: “Makcik risau la Hilal dengan keadaan sekarang ni. Anak makcik tu, entah berapa kali kena kacau. Bila jalan, ada lelaki minta nak teman. Bila duduk dalam kuliah, ada lelaki nak minta duduk kat sebelah. Makcik tak suka la lelaki macam tu. Tak soleh.”

Kalau saya, saya pun tak suka. Bayangkan wahai lelaki, orang buat anak perempuan kamu macam itu? Atau ada lelaki tiba-tiba mengorat mak kamu? Atau ada lelaki lain nak ‘tackle’ isteri/tunang kamu? Kamu puas hati? Boleh kah kamu kata pada diri kamu ketika itu: “Biarlah, dah fitrah…”

Boleh kah?

Sebab itu, Allah melarang kita mengikuti langkah-langkah syaitan dan mengambil Islam itu secara sempurna. Nak mengorat perempuan pun, kena ikut cara Islam ajarkan. Lebih selamat, lebih terjaga, dunia dan akhirat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” Surah Al-Baqarah ayat 208.

Jadi wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan aku.

Kenapa saya kata ‘perempuan aku’? Khas kepada orang yang saya suka sahajakah? Khas kepada adik perempuan saya sahaja kah?

Tidak.

Saya tidak suka lelaki, menganggu mana-mana sahaja perempuan yang ada. Saya letakkan ‘perempuan aku’ kerana saya rasa bertanggungjawab atas perempuan-perempuan yang ada. Perempuan di mata saya amat mulia. Jadi saya tidak suka perempuan itu rosak, dirosakkan. Sebab perempuan, mereka akan melahirkan anak-anak yang membentuk masa hadapan dunia. Kalau perempuan rosak, maka rosak lah masa hadapan kita.

Pada saya, anda pun wahai lelaki, perlu merasakan apa yang saya rasakan.

Allah SWT telah berfirman:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan,” Surah An-Nisa’ ayat 34.

Maka bro, apa kata kamu berhenti mengorat-ngorat ni.

Kita lelaki, dipertanggungjawabkan menjaga perempuan dengan baik. Bukan merosakkan mereka.

Kalau suka, jom kita ambil cara yang bersih, cara yang baik, cara yang diredhai Allah SWT.

Saya berani berjanji yang anda akan menjadi lebih bahagia, lebih tenang, lebih senang apabila anda mengikuti apa yang telah Allah tetapkan. Anda perlu yakin, kesabaran anda dalam mengikuti perintah-Nya, akan terbayar. Sebab janji-janji Allah itu adalah benar. Jangan anda rasa terganggu bila melihat orang lain melanggar perintah-Nya. Kita, teruskan dengan ketaatan kita.

“Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.” Surah Ar-Rum ayat 60.

Tundukkanlah pandangan, jagalah kemaluan, pertahankanlah kehormatan.

Kita lelaki, adalah ketua keluarga, pemimpin kepada perempuan. Kalau kita rosak wahai lelaki, maka keluarga itu akan rosak dan tidak stabil, seperti kapal kehilangan nakhoda.

Mari sama-sama kita lakar masa hadapan kita, dengan lakaran keimanan, ketaatan kepada-Nya.

Saturday, May 1, 2010

Luahan Hati Abang Saudara Arwah Adik Aminul Rasyid....

SAYA INGIN BERKONGSI LUAHAN HATI NALURI SAYA SBG SEORANG ABANG YG MEMPUNYAI ADIK2 REMAJA YG MENINGKAT DEWASA BERSAMA SAUDARA_SAUDARI SEKALIAN TENTANG KEJADIAN YG TLAH MENIMPA ARWAH " AMIN @ MINUL ",ARWAH SEKELUARGA ADALAH SAUDARA TERDEKAT KEPADA ISTERI BAPA SAUDARA SYA SENDIRI YG SAYA GELAR "PAK SU & MAK SU ".SETELAH MENELITI LAPORAN FAKTA SERTA TEORI DI SAMPING MENDENGAR SEKALI PENDAPAT BAPA SAUDARA SAYA SENDIRI YG JUGA SEORANG INSPEKTOR POLIS,DATUK DI KUCHING SERTA SAUDARA MARA LAIN YG JUGA SEGELINTIR NYA PENGAMAL UNDANG-UNDANG...SAYA INGIN BERKONGSI RUMUSAN PERIBAI SAYA SEPERTI BERIKUT:

1)DIFAHAMKAN SESORANG ANGGOTA PDRM(TAK KIRA PANGKAT APA SEKALIPUN)...TIDAK SEWAJARNYA MELEPASKAN SEBARANG TEMBAKAN SEKIRA NYA SUSPEK TIDAK TERDAHULU NYA BERTINDAK GANAS SPT MELEPASKAN TEMBAKAN,MENGACU SENJATA SPT PARANG,DAN LAIN2...SEHINGGA MAMPU MENGANCAM KESELAMATAN NYAWA ATAU FIZIKAL ANGGOTA KESELAMATAN PDRM ATAU PUN ORANG AWAM YG BERADA DI TEMPAT KES KEJADIAN...JADI SOALAN SAYA: " BENTUK ANCAMAN APA KAH YG TLAH DILAKUKAN ARWAH UTK DIKATAKAN SEHINGGA MENGANCAM KESELAMATAN ANGGOTA TERBABIT PADA MLM KEJADIAN???

2)JIKA ALASAN MENGAMBIL KIRA...KERANA KERETA ARWAH DIKATAKAN MENGUNDUR KE BELAKANG DAN ITU YG DIKATAKAN ANCAMAN KPD ANGGOTA PDRM TERSEBUT...ADALAH SUDAH CUKUP MEMADAI,ANGGOTA TERBABIT HANYA PERLU MELEPASKAN TEMBAKAN KE ARAH TAYAR KERETA ARWAH UTK MEMBERHENTIKAN PERGERAKAN KERETA ARWAH...!!!..TAK PUN TEMBAK JE LAH BAHU ARWAH....!!!...KENAPA TEMBAK KEPALA ??? TEPAT PLAK TU...MANUSIA MANE TAK MAUT JIKA DITEMBAK TEPAT KE KEPALA????

3)KALAU ANGGOTA PDRM TU SEKALIPUN BG ALASAN YG TEMBAKAN TU TAK BERNIAT MEMBUNUH ATAU TERSASAR KE KEPALA ARWAH YG KONON NYA DIKATAKAN SUSPEK JENAYAH MLM TU...AIKKKK....ANGGOTA TU LOM LULUS UJIAN TEMBAKAN KE..???(WALAUPUN KONON NYA DIFAHAMKAN ANGGOTA TERSEBUT IBARAT ISTILAH BARU LEPASAN GRADUATE...)APA PUN,SETAHU SAYA SETIAP ANGGOTA KENA LULUS UJIAN MENEMBAK...???TAK PUN RABUN KE..???KHAYAL???MENGANTUK???...KE SAKIT PERKINSON....???SAMPAI NAK TERSASAR LEBIH 45 DARJAH TU IKUT PERKIRAAN MATEMATIK...LAGIPUN ANGGOTA BUKAN SORANG DUA WAKTU KEJADIAN...TAK KAN TAK LULUS KEMAHIRAN PSIKOLOGY UTK KAWAL DUA BUDAK....???

4)SETIAP KEJADIAN ADALAH KES,SETIAP KES PASTI KENA ADA TERTUDUH,DAN SETIAP TERTUDUH KES KENA DIHADAPKAN KE MUKA PENGADILAN YAKNI MAHKAMAH...MAKA,SUSPEK TUDUHAN SETIAP KES MESTILAH SEDAYA UPAYA TERMAMPU DITANGKAP "HIDUP-HIDUP" ....SEHUBUNGAN DGN ITU,,,ADALAH MENJADI KEWAJIPAN TUGAS SETIAP ANGGOTA PDRM UTK SEDAYA UPAYA YANG TERMAMPU MENGGUNAKAN SEGALA KEMAHIRAN PSIKOLOGI YG TLH DIPELAJARI UTK MENGELAK DARI TERJADINYA KELAKUAN TINDAKAN MELEPASKAN TEMBAKAN "MAUT" TERHADAP ARWAH PADA MALAM TU YG KONON NYA DIKATAKN SUSPEK JENAYAH ATAU MANA2 SUSPEK JENAYAH,SEKALIPUN SUSPEK PENGGANAS YG BOLEH MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA...

5)KALAU DAH SUSPEK PENJENAYAH KONON NYA...DAH MAUT DI TEMPAT KEJADIAN GARA2 TEMBAKAN YG DILEPASKAN ANGGOT PDRM...NAK CKP APA KAT MAHKAMAH EAK???SILAP HARI BULAN KES DIGUGURKAN MCM TU JE SBB TERTUDUH DAH MATI...

6)MENGIKUT KATA RAKAN ARWAH YG JUGE BERADA DLM KERETA BERSAMA ARWAH...MLM TU DIA KENA PIJAK,KENA BELASAH CUKUP2 NGAN ANGGOTA TERSEBUT.NAMUN BELIAU BERNASIB BAIK MAMPU MELEPASKAN DIRI SEBELUM MENGAMBIL TINDAKAN NEKAD UTK MELARIKAN DIRI DARI DIBERKAS OLEH PDRM TERBABIT DI TEMPAT KEJADIAN MLM TU...JADI SAYA INGIN TANYA KAT SINI;
(A)WAJAR KE BUDAK TU KENA PIJAK BAGAI " MEMIJAK BELACAN DLM PEMPROSESAN "SPT YG DIDAKWA OLEH BELIAU..?
(B)CAM NE LEH BDK TU TERLEPAS MELARIKAN DIRI....???FIKIR SECARA PROFESIONAL...CUBA BAYANGKAN SUSPEK PALING DIKEHENDAKI YG TLAH DIBERKAS MCM TU...BOLEH PLAK MELARIKAN DIRI DARI DLM TANGAN,DEPAN MATA MCM TU...???CUBA FIKIR....???BKN KE NAMPAK ADA LOGIK NYE KAT SINI BUDAK TU KATA DIA KENA PIJAK TANPA BELAS SEHINGGA MANGSA NEKAD UTK CABUT LARI....???ESOK NYA DLM MEDIA CKP LAIN PLAK...Kaaannnnnnnnn.....?????

***SAYA TAK TERDETIK UTK MEMBENCI POLIS,KERANA SAYA SENDIRI MEMBESAR DLM KELUARGA YG SEBILANGAN BESARNYA BEKERJAYA DLM PDRM,MALAH DATUK SAYA SENDIRI ADALAH BEKAS KETUA POLIS NEGERI.BAPA SAUDARA PLAK KINI MEMEGANG JAWATAN INSPEKTOR,ABG TIRI SAYA JUGE SEORANG ANGGOTA PDRM BERTUGAS DI TERENGGANU.JUGA MEMPUNYAI SEORANG SEPUPU WANITA BERPANGKAT INSPEKTOR LULUSAN IJAZAH SERTA DUA SEPUPU LELAKI KEMBAR YG BARU MENYERTAI PDRM.MEREKA SEMUA ADALAH SAUDARA KANDUNG SEBELAH IBU SAYA...
***AL_FATIHAH BUAT ARWAH,SEMOGA DICUCURI RAHMAT***
***dI SINI JUGA SAYA INGIN MOHON JASA BAIK SEKALIAN AGAR TIDAK BERDEBAT SEHINGGA MENYINGGUNG PERASAAN SESAMA KITA DAN MOHON BUDI SEKALIAN AGAR MENGHORMATI ROH ARWAH...KASIHANI LAH ROH ARWAH DI SANA,KERANA JIKA SEMAKIN KITA DI DUNIA NI BERDEBAT SESAMA SENDIRI,MAAF SAYA KATA KAT SINI KERNA BAK KATA ALIM ULAMA...SEMAKIN TIDAK TENTERAM ROH ARWAH DI SANA...SEMESTINYA KITA TIDAK BERKESAMPAIAN HATI UTK MEMBIARKAN PERKARA SEDEMIKIAN BERLAKU KE ATAS MANA2 ROH SI MATI YG KITA SAYANGI...BIAR LAH ROH ARWAH BERSEMADI DGN AMAN...SAYA MOHON SUJUD KPD SAUDARA SAUDARI SEKALIAN...AMIN YA RABBAL AL'AMIN...WASSALAM

ABG SAYANGKAN AMIN,ABG RINDUKAN AMIN...SEPARUH NYAWA BANG IJAN PERGI NGAN AMIN WALAU ABG SENDIRI TAK PERNAH RAPAT NGAN KELUARGA AMIN...TAK DE LAGI DAH SMS DARI AMIN TIAP PTG JUMAAT BERBUNYI:
"Oiitt bang,Eh lupek nk bg salam...Asmekom...!!!!abg syg amin eak...topap fone amin bang...???Jgn bg tau mak su...Hukhuk..Timeceh.."

p/s- sebak hati aku membaca rangkap terakhir luahan hati tersebut....seolah-olah keluarga aku yang sedang di uji...

bersatulah kita wahai sahabat sekalian....usah kita gentar kerana kebenaran di pihak kita...

takbir!!!!!!!

Allahuakhbar!!!!!

Thursday, April 29, 2010

Keadilan Untuk Arwah Adik Aminul Rasyid

KISAH AMINULRASYID : CERITA DARI AHLI PARLIMEN SHAH ALAM


Pada hari Isnin 26 April, jam 4 petang, saya telah menerima panggilan dari Ustadz Nasaruddin, Pemangku Ketua Pemuda PAS kawasan Shah Alam. Dia memberitahu saya bahawa seorang remaja yang berumur 15 tahun telah ditembak mati oleh Polis di Seksyen 11 Shah Alam awal pagi tadi. Penduduk sedang berkumpul di Surau Seksyen 11 untuk menunggu jenazahnya dan semua menyuarakan ketidak puasan hati atas tindakan Polis.

Remaja berkenaan anak salah seorang ahli Qariah yang dikenali.
Mendengar berita tersebut saya pun telah bergegas ke Surau berkenaan dan mendapati sudah ramai berkumpul di situ. Saya melihat ramai di antara mereka terdiri daripada remaja belasan tahun.

Sebahagian dari mereka menunggu di luar kawasan Surau sambil sebahagian yang lain berada di dalam kawasan Surau tersebut. Setiba sahaja saya, qamat Salat Asar telahpun didengari dan Salat hendak dimulakan.


Saya mengambil wudu’ dan seterusnya menyertai jemaah. Setelah selesai salat, saya mendapatkan penjelasan dari Ustadz Nasaruddin mengenai apa yang telah berlaku. Beberapa orang turut mendengar dan memberi penjelasan termasuk seorang penduduk yang telah menyaksikan sendiri peristiwa berkenaan kerana kereta yang dipandu arwah terbabas di hadapan rumah beliau.

Mengikut keterangan mereka, pada jam lebih kurang 1.30 pagi, beberapa das tembakan telah kedengaran di jalan 11/2. Apabila disiasat, didapati sebuah kenderaan sedang dikejar kenderaan polis. Akhirnya kenderaan yang dikejar terbabas dan melanggar tembuk rumah dan pemandunya, Aminulrasyid Amzah, mati terkena tembakan di kepalanya. Seorang penumpang telah keluar dan berjaya melarikan diri.


Saya kemudiannya membuat panggilan telefon kepada Dato’ Khalid, Ketua Polis Negeri dan meminta penjelasan dari beliau. Dato’ Khalid menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan dan anggota polis yang terbabit telah dipindahkan ke kerja-kerja pejabat. Menurut beliau, siasatan dibuat oleh polis Negeri, bukan oleh polis Shah Alam, bagi menjamin ketelusan.
Begitu juga tegas beliau, bahawa siasatan dibuat di bawah Kanun Keseksaan 302, iaitu tuduhan membunuh sebagai bukti seriusnya pihak polis ke atas kes ini.


Dalam keadaan asyik mendengar penjelasan tambahan dari mereka yang berada di Surau, tiba-tiba beberapa orang membawa seorang remaja ke hadapan saya sambil berkata kepada saya, "dia lah penumpang yang bersama arwah yang telah melepaskan diri". Orang semakin ramai berkumpul dikeliling saya dan memandangkan keadaan semakin bercelaru, saya menasihati remaja tersebut untuk ke tempat lain dahulu dan 'stay low profile'.

Saya mengambil nombor telefon bimbitnya dan berjanji akan memanggilnya kemudian untuk bertemu dalam suasana dan keadaan yang lebih tenteram untuk mendapatkan penjelasan berhubung peristiwa berkenaan daripada beliau. Saya berpesan supaya dia berhati-hati supaya tidak ditahan polis kerana dikhuatiri penjelasan beliau akan dipengaruhi pihak polis untuk sealiran dengan kenyataan yang telah dikeluarkan mereka.


Kenyataan yang dikeluarkan polis melalui TV dan radio, saya diberitahu, berbunyi
"seorang yang disyaki penyamun ditembak polis awal pagi di Seksyen 11 Shah Alam… sebilah parang dijumpai di dalam kereta disyaki digunakan sebagai senjata untuk menyamun… suspek kedua berjaya melepaskan diri..."


Selepas Maghrib saya berhubung dengan remaja berkenaan dan kami bertemu bersama beberapa orang sahabat sebagai saksi. Remaja tersebut memberitahu bagaimana arwah telah mengambil kereta kakaknya pada lewat malam sambil semua sedang tidur dan menjemput beliau. Mereka telah ke sebuah kedai di Seksyen 11 dan seterusnya ke Seksyen 7 setelah mendapat panggilan dari seorang rakan lain yang mengalami kerosakan motorsikal di situ.

Dalam perjalanan ke tempat kerosakan tersebut, berhampiran restoran Ali’s corner, mereka tergesel dengan sebuah kereta mewah yang sedang parkir di situ. Kemalangan ini menyebabkan arwah ketakutan dan beliau terus membawa kereta untuk melarikan diri. Pada masa yang sama mereka dapati ada motorsikal yang mengejar mereka. Apabila sampai di Seksyen 12, di jalan dari bulatan Istana Kayangan menuju SIRIM, motorsikal berkenaan terlanggar kereta yang dipandu arwah di bahagian belakang dan terus terbabas.

Arwah terus membawa keretanya dengan laju dan pada ketika itu mereka telah memintas sebuah kereta peronda polis. Kereta peronda tersebut terus membunyikan sirennya dan mengejar mereka, melalui SIRIM terus ke bulatan dan menuju ke Masjid Negeri, sampai ke Seksyen 9 dan kembali ke bulatan Istana Kayangan.

Dari bulatan Istana Kayangan mereka berpatah semula ke Seksyen 11 memasuki simpang berhampiran Caltex, Esso dan terus memasuki jalan 11/2. Tiba-tiba kedengaran tembakan beberapa das. Kereta terhoyang hayang disyaki tayar telah terkena tembakan. Arwah terus memandu dalam keadaan tayar ditembak sehingga tiba-tiba beliau rebah ke atas ribanya. Kereta terus menyimpang ke kiri dan terbatas melanggar tembok sebuah rumah.

Apabila di pegang kepala arwah, didapati berlumuran darah.Terasa kepala berlubang dan darah membasahi tangan dan bajunya. Remaja ini terus keluar dari kereta, terpaksa keluar dari pintu sebelah arwah, kerana pintu sebelah dirinya telah terhimpit. Terpaksa mengalih mayat arwah supaya dapat melepasi diri dengan tujuan menyerah diri. Tak sempat apa-apa, sebaik sahaja keluar beliau diterajang seorang anggota polis dan beliau terus melarikan diri.

Sambil mendengar penjelasan beliau, tiba-tiba abangnya muncul entah dari mana. Memarahi beliau kerana tidak pulang ke rumah. Apa dah jadi ini, kata abangnya, bagaimana adik saya digelar penjenayah. Kami menenangkan abangnya sambil memberitahu niat kami adalah untuk menolong adiknya. Dia terus meminta adiknya pulang ke rumah, ayah menunggu katanya. Kami ikut sekali. Setibanya di rumah mereka, ayah dan ibunya kebinggungan. Kami menenangkan mereka dan memberitahu mereka anak mereka bukan penyamun.


Seterusnya saya membawanya bersama abangnya untuk membuat laporan polis. Jam sudah hampir pukul 10 malam. Saya ingin menentukan bahawa laporannya sama seperti ceritanya kepada saya sebelum ini. Tiada paksaan untuk mengubah ceritanya. Selepas laporan disiapkan saya bersamanya dan abangnya bertemu pegawai yang bertugas.

Saya bertanya apakah SOP untuk pihak polis menggunakan senjata api menembak orang yang disyaki. Dia menjawab, hanya sekiranya nyawanya atau nyawa orang lain terancam.

Remaja saksi utama dibenarkan pulang ke rumah. Saya telah berhubung dengan YB Gobind Deo terlebih awal dan meminta dia mengambil kes ini. Dia berjanji akan berjumpa remaja berkenaan pada esok harinya, iaitu Selasa jam 10.30 pagi di mahkamah Shah Alam.

Selepas itu saya ke rumah arwah untuk bertemu keluarganya. Ibunya kesedihan. Abangnya kebinggungan. Bagaimana ini semua boleh berlaku. Mendengar percakapan ibunya berhubung arwah yang merupakan anak bongsunya, saya merasa sebak. Saya tak boleh bayangkan kesedihannya. Semakin ramai datang berkumpul. Saya berundur pada jam 12 tengah malam.

Esok pagi jam 9.30 pagi saya mengadakan sidang akhbar di pejabat saya. Dalam sidang akhbar tersebut saya menyatakan 3 perkara seperti berikut :

1. Arwah bukan penyamun dan penjenayah. Warga Seksyen 11 mengenali beliau dan tidak akan menerima alasan sedemikian rupa dari mana pihak sekalipun.


2. Arwah tidak cuba melanggar anggota polis seperti yang didakwa. Arwah telah ditembak semasa memandu melarikan diri dan bukan semasa mengundur kereta untuk melanggar anggota polis. Itu satu pembohongan sepertimana juga kisah kononnya ada sebilah parang di dalam kereta.

3. Saksi yang merupakan rakan sepanjang peristiwa malang tersebut perlu diberi perlindungan dan tidak ada usaha dilakukan supaya ceritanya diubah untuk bersesuaian dengan kisah yang dilaporkan pihak polis. Saya meminta Polis bertindak secara profesional dalam kes ini dan jangan berusaha untuk melindungi anggotanya.

Shah Alam menjadi medan berlakunya pembunuhan Teoh Beng Hock sebelum ini. Malaysia juga menyaksikan sebelum ini kes Kugan yang telah mati di dalam tahanan. Norizan Salleh yang ditembak secara rambang sebanyak 5 kali tetapi masih hidup untuk menceritakan pengalaman ngerinya.

Harap jangan dilupa juga kisah Altantuya bersama bom C4. Ini semua kes-kes yang tergantung yang menjadi tanda tanya masyarakat. Entah banyak mana lagi kes yang tergantung sebegini yang tidak diketahui umum.

Apa yang pasti, kita tidak boleh membenarkan kes Aminulrasyid berkesudahan sebegitu rupa. Kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh yang beroleh rahmat.


Wallahu 'Alam
KHALID SAMAD

Uhibbukafillah, jiddan jiddan...buatmu sahabat

cerpen yang sangat menarik untuk dikongsi..
sumber: http://ms.langitilahi.com

Sedih. Aku tidak tahu mengapa. Tetapi suasana kelam itu mengundang rasa sedih di dalam hatiku. Kulihat Ariff menangis teresak-esak. Fawwaz dan Munsyi duduk menunduk wajah yang sugul. Di sekeliling mereka bertiga, kebanyakan rakan-rakanku di Jordan ini turut hadir. Semuanya mempunyai gaya masing-masing. Namun gaya mereka semua bersatu atas satu perkataan. Sedih.

Tiba-tiba aku rasa takut.

Seakan-akan suasana itu meragut jiwaku.

“Semoga ALLAH rahmati arwah” Presiden MPPM Jordan, Abang Dzulkarnain berkata dalam keadaan matanya yang kemerahan.

Arwah?

Ada orang meninggal kah?

Tiba-tiba aku nampak wajah Toriq, sahabat karibku. Wajahnya pucat lesu. Kenapa? Dia kaku sahaja tanpa suara. Matanya terpejam.

Adakah….

****

Aku memandang wajah Toriq. Wajah itu tidak sama seperti wajah yang kelihatan dalam mimpiku. Wajahnya kini hidup, ceria, penuh cahaya. Wajah yang aku tidak pernah rasa sugul bila memandangnya. Namun hari ini, keresahan aku tidak hilang dengan memandang wajah bersih itu. Malah, semakin bertambah gelisah.

“Ni kenapa gaya nak makan orang? Dah tranformasi jadi Godzilla?” Toriq tersenyum-senyum.

“Jalan pandang depan la” Aku memuncungkan bibir ke hadapan, ke arah jalan raya. Kami kini sedang berada di hadapan sebuah pasaraya, yang bertentangan dengan pintu gerbang universiti kami. Antara pasaraya dengan pintu gerbang universiti, ada jalan raya yang besar untuk kami lintasi.

Senior-senior sentiasa berpesan agar kami berhati-hati kerana orang arab biasanya memandu dengan laju. Kadangkala, kita tidak dapat menjangka bagaimana mereka memandu. Aku yang pernah naik teksi dan coaster di Jordan ini, memang rasa macam nak tercabut jantung dengan cara pemanduan mereka. Menggerunkan.

“Uih, garangnya. Ni boleh jadi Godzilla sungguh ni” Toriq terus melangkah.

Tiba-tiba mataku menangkap sebuah kereta yang bergerak dalam keadaan laju.

Pantas wajah pucat Toriq dalam mimpiku menjengah. Kata-kata Abang Dzulkarnain mengetuk kepala.

Arwah…

“Toriq!” Aku terus mencapai lengannya, menarik Toriq ke belakang semula. Kereta tadi terus bergerak membelah jalan raya.

“Kau nak mati ke? Jalan tak pandang kiri kanan?” Aku meninggi suara. Dapat kurasa wajahku tegang. Dada berdegup kencang. Bukan marah, tapi…

Toriq angkat kening. “Kau ni kenapa? Siapa tak nampak kereta tadi? Aku bukan nak melintas jalan raya. Aku baru je nak melangkah nak berdiri tepi jalan raya. Macam tak biasa pulak.”

Aku diam. Tadi, dia bukan nak melintas ke?

“Kau ni, sayang aku terlebih ni” Toriq ketawa kecil.

Muka aku merah. Aku terasa macam aku ini orang bodoh pula.

“Aku risau” Aku menjawab tanpa memandang wajah Toriq. Jalan raya sedang dipenuhi kenderaan yang lalu lalang. Kami masih belum ada peluang untuk melintas.

“Risau? Terharu seh” Toriq memaut bahuku dengan lengannya. Dia masih ketawa.

Aku diam sahaja. Mana aku tak risau? Aku mimpi kau mati!

Tidak lama kemudian, kami mendapat peluang melintas jalan. Toriq melangkah dahulu. Aku pantas bergerak agar langkah kami seiring. Pantas tangan kananku memegang tangan Toriq, memimpinnya seperti memimpin anak kecil melintas jalan.

Sampai sahaja di pintu gerbang Univeristi Yarmouk, aku perasan Toriq memandangku. Tapi aku senyap sahaja. Beberapa orang di tepi jalan tersenyum-senyum memandang kami. Memang, nampak pelik kalau lelaki berpimpin tangan dengan lelaki.

“Kau tak sihat?” Suara Toriq agar kerisauan dengarnya.

Aku melepaskan tangannya semasa melepasi pintu gerbang. Geleng kepala.

Aku perlu bagitahu kah mimpi aku?

“Kalau kau ada masalah, bagitahu aku”

Toriq, memang sahabat yang baik. Sahabat aku yang terbaik. Tapi sekarang, bukan aku yang bermasalah. Masalahnya adalah kau, Toriq. Aku rasa macam kau akan ditarik pergi. Aku tidak mahu kau pergi!

“Tiada apa-apa”

Toriq tersenyum semula. Wajah cerianya kembali bercahaya. “Kau tengah angau dengan sesiapa ke?” Tangannya mencuit pinggangku.

“Banyak la kau”

****

Orang kata, kalau ada manusia nak dekat mati, biasanya dia akan ada tanda-tandanya. Tapi, selalunya tanda itu tidak akan kita perasan, melainkan selepas dia mati. Contoh yang biasa didengari adalah seperti ajak makan makanan kegemaran tapi dia makan tak habis. Contoh lain yang biasa aku dengar, arwah akan sering berkata berkenaan mati sebelum kematiannya.

“Agak-agak, umur kita ni berapa panjang lagi?”

Hampir tersembur air yang sedang kuteguk. Terkejut. Aku membesarkan mata, memandang Toriq.

“Mati-mati jangan sebut lah” Aku menegur.

Toriq tersengih. “Kenapa pulak? Mati tu bila-bila. Apa salahnya ingat mati. Mati selalu ingat kita”

Aku menghela nafas. Betul. Malah, mengingati mati adalah antara pencuci kekaratan di dalam hati.

Rasulullah SAW bersabda: “Hati itu akan berkarat seperti karatnya besi” Sahabat-sahabat pun bertanya bagaimana untuk membersihkannya. Rasulullah SAW menjawab: “Membaca Al-Quran dan mengingati mati”

“Tak ada la, hilang keindahan pagi ni” Aku memberikan alasan. Kemudian memandang mentari pagi yang redup di sebalik awan.

Sekarang Subuh pukul 3.40 pagi. Malam sudah menjadi pendek kerana musim panas. Antara hobi aku dan Toriq masa musim panas ini adalah duduk di atas sutuh dan berehat sambil memerhatikan mentari naik. Kami akan membaca Al-Quran dan kemudiannya bersarapan bersama-sama.

“Kalau aku mati, macam mana agaknya kau?” Soalan itu, mengundang pusingan pantas dari kepalaku.

Pantas aku meluku kepalanya.

“Aduh, kenapa?” Toriq menggosok-gosok kepalanya. Memandang aku dengan kehairanan.

“Degil ya. Kan aku dah cakap jangan rosakkan mood pagi ni” Aku cuba bergaya selamba.

Toriq mencemikkan muka, kemudian terus menyambung sarapannya.

Suasana senyap sebentar. Aku terus menghabiskan air. Cawan kuletakkan. Toriq tekun dengan makanannya. Aku rasa bersalah pula.

“Kalau kau tak ada…” Perlahan-lahan aku bersuara.

Toriq mengangkat kepala. Mata kami bertentang. Suasana senyap kembali. Kemudian Toriq mengangkat kening, isyarat agar aku meneruskan kata-kata.

“Aku akan rasa amat amat amat sedih” Suaraku perlahan.

Perlahan-lahan senyuman Toriq terukir.

“Kenapa? Lawak ke?”

“Terharu seh”

“Banyak la kau punya terharu”

“Aku saje je nak tengok kau sayang aku tak” Toriq angkat kening dua kali. Kemudian dengan selamba meneruskan sarapan.

“Ceh” Buat aku risau aje. Aku memandang langit kembali. Semakin cerah. Baru pukul 6.00 pagi, sudah seperti pukul 8.00 pagi di Malaysia.

Adakah hidup akan sentiasa cerah seperti keadaan sekarang?

****

Hah!

Aku terbangun lagi. Mimpi itu datang lagi. Wajah teman-teman yang sugul, ada yang menangis, ucapan Abang Dzulkarnain dan berakhir dengan wajah Toriq yang terpejam kehilangan seri.

Aku beristighfar berulang kali. MasyaALLAH… Perasaan takut menyerang.

Tubuhku rasa hangat. Kusentuh dahi, terasa basah. Aku berpeluh.

Semakin lama, aku terasa seakan-akan mimpiku akan menjadi kenyataan.

Mimpi yang sama datang dan datang lagi.

Ya ALLAH…

Kulihat jam pada telefon bimbit. 2.45 pagi. Aku terus bangun dan menuju ke tandas. Gosok gigi, dan membasuh muka. Kemudiannya aku mengambil wudhu’. Aku hendak solat tahajjud.

Semalam, Toriq mengadu kepadaku bahawa dia sakit. Dia rasa lemah-lemah badan. Hidung pula sentiasa berdarah.

Aku amat risau. Aku telah membawanya berjumpa doktor pada waktu malam, tetapi doktor hanya berkata bahawa itu keadaan biasa apabila perubahan cuaca. Memang biasanya pada musim panas, badan akan terasa lebih lemah dan kadangkala untuk beberapa orang, darah akan keluar dari hidung.

Keterangan doktor tidak membuatkan aku lega. Mungkin aku juga akan menganggap ini biasa, kalau aku tidak didatangi mimpi aneh itu. Tapi, setelah berulang kali mimpi itu hadir, aku rasa teramat risau. Adakah pemergian Toriq memang tidak dapat dielakkan? Adakah mimpi aku itu, benar-benar satu kepastian?

Aku menangis dalam sujudku.

Ya ALLAH, sesungguhnya KAUlah yang menguasai nyawa, maka panjangkanlah nyawa sahabatku itu!

****

“Nama aku Toriq. Yoroshikuu” Dia menghulurkan tangan.

Yoro… shiku? Bahasa Jepun apabila memperkenalkan diri, atau meminta seseorang melakukan sesuatu.

“Pelajar JUST?” Nama universiti untuk pelajar perubatan dan pergigian di Irbid kusebut.

Semua orang disekelilingnya ketawa.

“Aku dah kata dah, kau ni tak ada rupa pelajar Yarmouk” Bahunya ditepuk kawan di sisi.

Dia ketawa juga. “Aku pelajar Yarmouk. Macam kau juga. Kita sama baya la. Cuma aku sampai sini seminggu awal”

Aku tersengih. Pandangan pertama aku, pelajar bernama Toriq ini adalah seorang yang suka lepak-lepak, gaya happy go lucky dan ada aura anak orang kaya.

Sekejap sahaja. Sudah dua tahun berlalu. Tanpa aku sangka, pelajar yang aku ingat suka lepak-lepak, gaya happy go lucky, dan ada aura anak orang kaya itu adalah sebenarnya jauh dari sangkaan aku. Gayanya memang ceria, tetapi Toriq adalah seorang yang serius pada tempatnya. Dia rupanya bukan anak orang kaya. Dia sederhana sahaja seperti aku. Tetapi dari segi pelajaran, Toriq jauh melebihi aku. Dia antara yang tergenius di dalam Universiti Yarmouk. Hatta pensyarah pun menyayangi dia.

Akhlaknya baik dan bersih. Tidak pernah menyakitkan hati orang. Malah Toriq yang mengajak aku untuk mengikuti usrah yang dijalankan oleh Iktilaf Islami, kumpulan persatuan ISLAM orang arab di Universiti Yarmouk.

Toriq Sentiasa berbahasa yang menyenangkan, dan semua orang di kawasan Irbid ini menyukainya. Dan semestinya, Toriq ramai peminat dari kalangan pelajar perempuan.

Dan tanpa aku sangka juga, pelajar yang aku ingat suka lepak-lepak itulah yang menjadi sahabat karib aku sepanjang berada di Jordan ini. Kami tinggal serumah dari tahun pertama dengan tiga orang pelajar JUST, iaitu Ariff, Fawwaz dan Munysi.

Malah, kami adalah pasangan setter dan spiker yang digeruni di Universiti. Aku spiker dan dia sebagai setter. Kami berdua suka juga buat video macam Anas Tahir dan Akbar, tapi tak adalah merapu sangat macam mereka. Kami buat video tazkirah. Antara projek dakwah aku dan Toriq.

Aku, memang amat sayang dengan Toriq.

Sayang kerana ALLAH. Ukhuwwahfillah. Toriq yang kenalkan aku dengan benda-benda tu. Dia yang kenalkan aku akan hakikat ISLAM, hakikat iman. Sedikit demi sedikit dia mencerahkan kefahaman aku berkenaan makna kehidupan. Hinggalah sampai satu tahap, dia mengajak aku mengikuti usrah untuk pemahaman yang lebih tersusun.

Walaupun aku adalah seorang pelajar sekolah agama sebelum berkenalan dengan Toriq lagi, tetapi selepas dia menunjukkan aku semua itu, baru aku nampak bahawa aku telah silap meletakkan agamaku. Selama ini, aku hanya nampak ISLAM ini sebagai agama sahaja. Aku nampak ISLAM ini pada pelajaran. Aku nampak ISLAM ini untuk aku lulus cemerlang dan mendapat kerja dalam kehidupan.

Tapi rupa-rupanya, ISLAM ini lebih daripada itu. Seluruh kehidupan itu sendiri sebenarnya perlu berada di dalam ISLAM. Hal ini kerana, ISLAM itu syumul, meliputi segala perkara. Semua itu aku fahami, hanya selepas aku mengenali Toriq. Perlahan-lahan, dialah yang memimpin aku.

Sebab itu, aku amat menyayanginya.

“Ni kenapa tengok aku macam aku dah nak mati je ni?” Toriq memandang kepadaku.

Aku tersedar dari lamunan panjang. Perkataan ‘mati’ membuatkan aku sedikit rasa tidak senang.

“Kau sakit, aku tengok-tengokkan la” Aku menjawab selamba.

Toriq tersenyum. “Kut la nak ubatkan”

“Aku bukan doktor lah”

“Da’ie, doktor pada ummah seh”

Kata-kata Toriq mengoyak sengihku. “Masalahnya, kalau bab sakit macam kau ni, da’ie tak boleh nak ubatkan. Doktor la kena bagi ubat”

Toriq menggeleng. “Da’ie, perlu beri harapan kepada pesakit macam aku ni, untuk menjalani ujian sakit itu dengan penuh keimanan”

Aku tersenyum. Ada-ada sahaja. Tak mahu kalah juga.

“Jadi, bersabarlah kau dengan ujian ni. Ini baru sakit sikit. Kemungkinan, ALLAH akan uji dengan benda yang lebih besar”

“Apa agaknya benda yang lebih besar tu?”

“Aku kahwin dengan orang yang kau suka”

Terkeluar tawa kami berdua.

“Berani la” Toriq menunjuk penumbuk.

“Joke man, joke”

Toriq mengangguk. Aku tahu, dia faham. Kami bukan sekali dua bergurau. Entah, sudah kali ke berapa ribu kami bercanda. Kadang-kadang, tanpa bersuara pun, aku seakan dapat menjangka perasaannya, dan dia pula seakan dapat menjangka keadaan aku.

“Aku rasa, aku dah hampir sihat dah ni” Toriq memegang dahinya.

“Kau rehat cukup, okaylah kut”

“Darah pun dah tak keluar dah sehari dua ni”

“Esok boleh pergi kuliah”

“Kau mesti sepi pergi kuliah sengsorang”

“Bajet macam aku ni jiwang plak”

“Ha ha…”

Senyap sebentar selepas itu. Tiga hari ini, aku la yang menjaganya. Ahli rumah lain agak sibuk kerana mereka pelajar perubatan. Pelajar agama di Yarmouk memang agak banyak masa lapang.

“Tapi, memang sepi pun tak ada kau”

“Ha… introducing, mamat jiwang Irbid, Rasyid!”

“Banyak la” Aku menolak Toriq. Kami ketawa lagi. Nampaknya, Toriq memang benar-benar sihat.

Aku rasa lega.

Mungkin, mimpi aku itu hanya mainan sahaja.

Mungkin, aku ini terlalu banyak fikir.

“Hei Toriq” Aku memandang Toriq. Mata kami bertemu.

“Em?” Keningnya terangkat sebelah. Gaya kebiasaan.

“Uhibbukafillah, jiddan jiddan” Aku cintakan kamu kerana ALLAH sangat-sangat.

Toriq senyap sebentar. Kemudian ketawa.

Aku hairan. Kenapa?

“Kau memang dah jadi mamat jiwang seh. Gaya macam nak tinggal aku jauh je”

Aku tersengih. Aku yang takut kau tinggal aku jauh. Aku yang tak mahu kau pergi jauh tinggalkan aku.

Kemudian tawa Toriq mengendur. Dia memandang aku.

“Uhibbukafillah kaman” Aku cintakan kamu kerana ALLAH juga.

Aku tersenyum.

Hati lapang.

****

Aku terbangun.

Aku tidak tahu sama ada aku patut tersenyum, atau terus bimbang.

Aku bermimpi mimpi yang sama. Tetapi, mimpiku bertambah. Semuanya sama, hingga ketika wajah pucat Toriq yang terpejam matanya. Namun, kali ini, sebelum berakhir, mata Toriq yang terpejam itu, terbuka, dengan mata yang bergenang.

Adakah ini tandanya, dia tidak akan mati?

Ataupun, adakah ini tandanya, Toriq hanya berada dalam kesedihan?

Aku tidak tahu.

Ya ALLAH, lapangkanlah kehidupan sahabatku Toriq, permudahkan segala urusannya, ampunkan segala dosa-dosanya….

Aku berdoa.

Semoga ALLAH pelihara sahabatku Toriq.

Sekurang-kurangnya, dalam diriku sekarang, ada perasaan bahawa, Toriq tidak akan pergi meninggalkan aku.

Tapi…

****

Kehidupanku seakan kembali seperti biasa. Berjalan ke Universiti Yarmouk bersama sahabat tercinta, Toriq.

Pagi tadi, selepas bersarapan, aku teringat akan ibuku. Aku bersembang lama juga. Sempat berkirim salam kepada semua keluarga. Agak lama juga tidak menghubungi mereka.

“Ni kenapa muka macam orang baru kahwin ni?”

Aku tersengih. Sebab aku senang hati. Aku dapat telefon ibuku pada pagi hari, dan sahabatku kembali sihat. Malah, aku dapat rasa bahawa kerisauanku macam beterbangan hilang. Mungkin selepas aku kembalikan bahawa, hidup dan mati itu susunan ALLAH.

Semalam, sebelum tidur, aku bermuhasabah.

Mungkin, kalau benar mimpi-mimpi aku selama ini benar adalah tanda bahawa Toriq akan ditarik pergi, maka aku pun tidak akan mampu menghalang kehendaknya. Mati itu adalah urusan-Nya. Kita tidak boleh mengelak, jauh sekali hendak melarikan diri. Cuma, tugas kita adalah hidup dengan nyawa yang masih ada, dan cuba menjaga diri sebaik mungkin.

Setiap yang bernyawa akan mati. Tiada keraguan akan hal itu. Maka tidak perlu dipertikaikan. Pokok persoalan sekarang adalah, bagaimana kita menjalani kehidupan.

Dikejutkan mimpi semalam, aku solat tahajjud, solat taubat dan melakukan solat hajat. Aku mendoakan agar aku termasuk dari kalangan yang beriman dan diberi rezeki untuk masuk syurga. Aku berharap agar, aku termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat redha ALLAH. Aku juga mendoakan semua ahli keluargaku, dan rakan-rakanku. Semestinya, aku tidak lupa mendoakan sahabatku Toriq.

“Weh, jawab la. Mimpi jumpa bidadari ke?” Toriq menolak bahuku.

Aku menggeleng. Aku mimpi kau hidup. “Mana ada apa-apa”

Aku terus berjalan. Toriq menepuk-nepuk belakang tubuhku. “Takpe…”

“Jangan ambil hati seh” Aku meniru ‘seh’ yang selalu diucapkannya.

“Aku ambil jantung je seh” Toriq membalas canda.

Kami ketawa.

Kami sampai di tepi jalan raya.

“Tak sibuk seh pagi ni”

Aku mengangguk. Walaupun ada kenderaan lalu lalang, tapi tidak sesibuk seperti biasa.

Toriq terus melintas. Aku mengikuti dari belakang.

Poooooooooonnnnn!!!!

Aku menoleh. Sebuah coaster bergerak laju ke arah kami. Mataku membesar. Spontan aku menolak Toriq dengan kuat. Sahabatku itu terkeluar dari jalan raya.

Jarak coaster denganku tidak lebih dari sedepa.

Ketika ini, keadaan sekeliling aku seakan menjadi perlahan. Aku sendiri jadi pelik. Aku sempat memandang Toriq yang hendak membuka mulut untuk mejerit.

Aku sempat pula teringat akan mimpiku.

Tangisan ahli rumah, kesugulan kenalan-kenalan di Jordan, kata-kata Abang Dzulkarnain, kemudian wajah pucat Toriq dengan mata terpejam yang akhirnya terbuka dalam keadaan mata bergenang.

Patutlah…

Aku tersenyum.

“Oh, rupanya bukan Toriq. Tetapi aku…”

Alhamdulillah. ALLAH Maha Besar. Ternyata ilmu berkenaan kematian ini tidak tersampai pada insan untuk menjangkanya.

BAM!

Seluruh alam macam berputar berulang kali.

Dan yang terakhir aku dengar adalah suara jeritan Toriq yang panjang, sebelum segalanya menjadi gelap, dan senyap.

ALLAH… Aku naik saksi bahawa tiada ILAH selainMU, dan Muhammad itu adalah RasulMU.

Toriq…

Aku yang pergi dahulu.

p/s- sahabat ku sekalian...maafkan diriku andai aku pergi dulu....aku harap masalah yang timbul ini akan selesai cepat...ketahuilah teman, aku menyayangimu...tak terniat di hatiku untuk membenci mu....

Wednesday, April 14, 2010

Lelaki Zaman Ini.....


Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Payah untuk kutemui
Yang benar-benar sibuk
dengan urusan baiki diri
Yang ada kini hanya
Sibuk dengan urusan mengumpul dunia
Walau diketahui dunia ini hanya penuh tipu daya

Keberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Susah untuk kutemui
Yang benar-benar takut pada Ilahi
Sentiasa mendambakan kasih Ilahi
Yang ada hanya mengharapkan kasih insani
Yang melalaikan orang dan diri sendiri

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Sukar untuk kutemui
Ahli profesional yang bertaqwa
Yang benar-benar meletakkan Islam dijiwa
Menggunakan profesionnya sebagai matlamat keakhirat sana
Yang ada hanya ahli profesional yang lalai dan leka
Yang hidupnya lebih berat dari barat
Ibadah dan amal terasa amat berat

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Payah untuk kutemui
Yang sentiasa bergelumang dengan majlis ilmu yang bermanfaat
Yang sanggup bersusah dan penat
Dalam mengejar dan memahami ilmu yang berkat
Yang ada kini hanyalah berbangga dengan ijazah yang ada
Tapi ilmu fardhu ainnya kosong belaka

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Susah untuk kutemui
Yang suka berbincang tentang ilmu akhirat
Syahid yang sentiasa menjadi matlamat
Mensyiarkan Islam dan menjunjung syariat
Yang ada cuma menghidupkan sunnah barat
Dan melupakan kehidupan akhirat

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Sukar untuk kutemui
Yang sentiasa bermunajat dan berzikir
Sentiasa bertafakkur dan berfikir
Sunnah Rasulullah cuba dipahat dan diukir

Namun kutetap berfikir..
pasti masih ada lagi
Lelaki diakhir zaman ini
Seperti yang kufikir..

sumber web...