Showing posts with label cErPeN. Show all posts
Showing posts with label cErPeN. Show all posts

Tuesday, August 23, 2011

Mana Mak???

jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bongsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “ Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian,

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah , “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak p ayah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.











Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah ....bangun." Suara Ateh memanggil ayah . Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. KataRasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah . Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telefon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

SILA KLIK BUTANG 'SHARE' SELEPAS MEMBACA






Thursday, August 12, 2010

Buat Teman Sejati

~ Ku lakar sebuah coretan berkisarkan SAHABAT SEJATI
~ Moga2 kita akan mempeoleh sedikit muhasabah dalam menjalinkan ukhuwah fillah...
~ Terimalah cerpen sederhana dari ana

Seorang posmen datang ke pintu pagar rumahku, lalu memberikanku sepucuk surat yang tidak pernah ku duga kedatangannya. Envelop itu aku buka perlahan-lahan, tersisip sebuah puisi yang bermadah indah kepadaku……

Wahai kekasih Agungku
Sudah kucuba menyelak hiba hijab
Yang terdinding diantara aku dan Engkau
Terasa hati kian merinduMu
Terasa memanggil diriku
Merembes air mata di tengah kegelapan malam
Mencari rahsia yang belum terungkap
Esok hari tercalit oleh tintaMu
Hari yang berkemungkinan ajal
Berhimpun di benakku
Tanpa memberi salam
Maka, hilanglah bebanan seratus abad
Wahai kekasih Agungku
Izinkan aku bertemu denganMu
Semoga Rihwan menyambut ‘kepulanganku’
Dengan nur sejahtera di sayapnya
Agar dapat ku tadah Agungnya kasihMu
Dalam benjana kasturi……….

Saudaramu,
Abu Rashid @ Caleopatra

Aku termenung jauh setelah membaca warkah daripadanya itu. Aku mengerti dengan balaghoh puisinya itu. Nampaknya ada kemajuan dari segi penggunaan bahasa balaghohnya. Kawan karibku di universiti dulu, sekarang berada di dalam keadaan yang tenat dan hampir menemui ajalnya. Aku terkenangkan kembali memori silam sewaktu aku bersamanya. Dia adalah sahabat yang paling setia kepada erti persahabatan dan juga saudara baru yang memeluk Islam melalui aku. Subhanallah. Meskipun berlainan agama (dulu) dan bangsa, dia tidak menghiraukan semuai itu demi membenarkan ukhuwah di antara kami terjalin erat. Aku pergi ke beranda sambil bersandar di tiang rumahku dan terkenang kembali peristiwa lampau yang kian mencurah-curah di benakku.

Kisah pertemuan kami bermula ketika aku mula-mula menginjakkan kaki ke Universiti Leiden di Holland. Aku takdirkan menyewa sebuah rumah yang sama dengan Caleoptra, anak jati british yang berasal dari England. Kami menuntut di universiti yang sama dan jurusan yang kami ambil juga sama. Ini amat menyenangkan ku kerana akan memudahkan ku untuk bergaul dengannya. Namun, pada minggu pertama aku disana berlalu dengan hambar, kerana kami bagaikan tidak kenal-mengenali di antara satu sama lain. Aku menegurnya pada minggu yang kedua dan disambut dengan mesra sekali. Rupa-rupanya dia juga berperasaan yang sama dengan aku. Dia sering bertanya kepadaku tentang agama yang aku anuti sekarang iaitu agama Islam.

Aku pun tidak ingin mengecewakannya dengan berlagak sombong kepada orang yang mungkin akan memeluk agama tauhid yang satu ini. Caleopatra sebenarnya pernah mengkaji dengan sedalam-dalamnya kitab Barnabas atau dengan nama lainnya ialah kitab Injil. Akan tetapi, dia tidak dapat menemui jawapan yang ingin diketahuinya iaitu apakah fungsi kita dihidupkan. Aku menerangkan kepadanya bahawa tujuan kita dihidupkan ialah mengabdikan diri kepada tuhan yang satu. Aku pun menerangkan apa dia tuhan yang satu. Namun, sebelum aku menerangkan lebih lanjut kepadanya, aku bertanya kepadanya apa yang dia tahu tentang tuhan. Dia menjawab tuhan adalah bapa kepada Jesus atau Nabi Isa di dalam kitab Barnabas. Akan tetapi mereka menyembah anak kepada tuhan iaitu Nabi Isa atau mereka gelar Jesus. Aku bertanyakan mengapa, namun dia mengatakan dia tidak tahu alasannya. Itulah yang dia cari-cari selama ini. Kemudian aku menerangkan secara ringkas kepadanya tentang tuhan agar dia mudah faham. Tuhan ialah tuhan yang satu, tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dia yang mencipta segala-galanya, tuhan yang merajai kerajaan langit dan bumi. Dia juga yang menghakimi hari akhirat. Beberapa minit selepas aku memberi penerang ringkas padanya, dia agak terkejut dan terpegun dengan kebesaran Allah yang Maha Esa. Allahu akhbar…

Dia juga bertanya kepadaku tentang kehairanannya mengenai perlakuanku yang bersolat 5 waktu sehari semalam. Aku menyedekahkan sebuah senyuman kepadanya sebabnya ku tahu apa yang berlegar di mindanya sewaktu mengutarakan soalan itu. Soalan ini pernah diajukan kepadaku dahulu oleh teman-teman non-muslim. Aku menerangkan bahawa dalam Islam, kami diperintahkan untuk bersolat 5 waktu sehari semalam. Ini berlainan dengan agama yang dia anuti kerana mereka hanya bersembahyang sehari sahaja iaitu pada hari minggu. Aku memberitahunya tentang hadis Rasulullah yang bermaksud “Rasulullah bertanya kepada para sahabat, “jika dihadapan rumah seseorang itu ada sebatang sungai, dan dia mandi di situ 5 kali sehari, adakah sebarang kotoran di badannya?” “Tidak ya Rasulullah” jawab para sahabat”. Ini membuktikan bahawa siapa yang bersolat 5 waktu sehari semalam dengan sempurna khusu’nya, wudu’nya, dan ruku’nya maka terhapuslah segala dosa-dosa kecil, selagi dia tidak melakukan dosa-dosa besar.

Setelah beberapa seketika, dia telah menonjolkan minat yang mendalam terhadap agama Islam. Dia ingin belajar tentang ilmu-ilmu yang merangkumi semua aspek di dalam agama Islam. Syukur aku adalah lepasan Sekolah Menengah Agama Islamiah di Tawau dahulu. Boleh juga aku menerangkan serba sedikit kepadanya tentang tauhid, feqah, akhlak dan sebagainya.Namun, belum tergerak hatinya untuk memeluk Islam. Aku sering ternanti-nanti bilakah masanya dia dikurniakan hidayah untuk memeluk agama Allah yang suci dan murni ini. Justeru, aku istiqamah mendoakannya agar dia termasuk dalam kalangan hamba-hamba Allah yang diturunkan hidayah nur iman itu. Aku juga memberitahunya bahawa agama Islam ini bukanlah agama paksaan. Penganutnya juga dimudahkan untuk bersolat, beribadat dan sebagainya. Tapi dengan alasan-alasan yang tertentu sahaja. Aku mengajarnya tentang ilmu mengenai Islam ini kerana aku pernah terbaca tentang kata-kata hikamah yang berbunyi “Seluruh umat manusia itu adalah mati, kecuali orang-orang yang berilmu pengetahuan. Semua orang yang berilmu pengetahuan itu adalah tidur, kecuali orang yang menyebarkan. Semua orang yang menyebarkan itu adalah terpedaya, kecuali orang-orang yang ikhlas dalam berbuat demikian”. Ayat ini membuktikan bahawa orang yang berilmu itu rugi kerana amal yang berterusan setelah kita mati adalah ilmu yang disampaikan dan diamalkan oleh orang lain.

Setelah bulan berganti bulan, musim bartukar musim, beberapa semester di universiti telah ditempuh, tibalah masanya semester yang terakhir. Aku semakin gelisah dan sedih kerana terpaksa berpisah dengan teman-teman sekuliah terutamanya sahabat sejatiku itu. Dia juga ada mengatakan bahawa dia merasa sedih yang teramat akan perpisahan ini. Di malam perpisahan itu, dia telah memberikan aku satu ‘hadiah’ yang cukup bernilai dan amat aku nantikan. Di hadapanku, dia telah mengucapkan dua kalimah syahadah. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akhbar. Air mata kegembiraanku tumpah kerana aku teramat gembira sekali kerana akhirnya hidayah Allah itu miliknya jua untuk menjadi ‘saudara baru’ dalam agama Islam. Selepas aku sujud syukur, aku lantas memeluknya tanda ucapan ‘ahlan wasahlan ya sahabat’ kepadanya. Dia juga meminta nama baik-baik untuknya daripadaku. Aku memberikannya nama Abdul Rashid bin Abdullah. Aku mem’bin’kan dia dengan nama Abdullah kerana dia seorang anak yatim dan memang kebiasaan sebegitu untuk ‘saudara baru’ dalam agama Islam. Di tengah kegelapan malam itu, kami mendirikan solat tahajjud bersama-sama untuk membesarkan dan mengagungkan Allah Subhanahu wataala.

Setelah kembali ke tanah air masing-masing, kami sering berhubung menggunakan e-mail dan macam-macam alternatif perhubungan yang ada disediakan di internet sekarang yang begitu banyak bak ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Dia juga ada menyatakan bahawa keluarganya terkejut dengan anjakan paradigma yang telah melanda dirinya. Namun, syukur alhamdulillah langsung tiada penentangan dan dirinya langsung tidak dipulaukan kerana bagi mereka itu lebih baik kerana dia telah berubah dari seorang yang social menjadi seorang muslim yang sejati. Subhanallah. Kami mengekalkan persahabatan kami yang telah terjalin selama 3 tahun itu kerana ukhuwah yang terjalin tanpa ada maksud yang tersirat adalah ukhuwah yang terjalin kerana Allah. Persahabat yang mengharapkan keredhaan Allah dan mengabdikan diri kepadanya. Kami menjalinkan persahabat juga kerana ingin di hujani dengan limpah rahmat daripada Allah subhanallahu wataala.

Tiba-tiba aku tersedar dari lamunanku dengan bergemanya azan maghrib di masjid Al-Khautsar. Azan yang sayu itu membuatkanku tergesa-gesa mencapai kunci motorsikalku untuk bergegas ke masjid untuk bersolat berjemaah bersama-sama. Hal ini disebabkan solat berjemaah akan mendapat 27 kali ganda pahala daripada solat bersebdirian. Setelah selesai bersolat, aku membacakan Yasiin dengan meniatkannya untuk sahabat sejati ku supaya dia menjadi semakin sihat walafiat. Seterusnya, seperti kebiasaan akan aku baca al-Ma’thurat yang mana ku mengharapkan ukhuwah kami terjalin kukuh melalui doa Rabitah yang ada terkandung dihujungnya selain memohon perlindungan dari makhluk-makhluk Allah yang lain. Setelah seminggu berlalu, aku menerima e-mail yang berbunyi……


Assalamualaikum…

Ke hadapan sahabat sejatiku di dunia dan akhirat, insya Allah… Semoga kamu sekeluarga berada di dalam keadaan sihat walafiat dan berada di bawah naungan rahmat daripadaNya. Mungkin apabila engkau membaca e-mail aku ini, aku telah pun kembali ke rahmatullah….

Sahabatku,

Pertemuan denganmu memberi nostalgia silam yang tak akan aku lupakan selama-lamanya. Menjalinkan jambatan persahabatan denganmu membawa sinar baru ke dalam hidupku kerana kau telah membimbingku ke jalan yang benar. Syukur ya Allah. Aku amat berterima kasih kerana di beri peluang untuk dimasukkan nur keimanan dan ketaqwaan di dalam lubuk hatiku. Hati yang dahulunya tidak pernah tandus di dalam berbuat perkara-perkara maksiat kepada Allah. Kini, aku semakin berasa tenang di dalam meniti warna-warni kehidupan selepas bergelar muslim.


Berkat daripada tunjuk ajarmu, kebanyakkan kaum keluargaku disini telah memeluk agama Islam yang agung. Alhamdulillah. Mungkin ini adalah berkat doamu yang tak pernah kering daripadamu. Doa yang setulus dan semurni hatimu. Meskipun kaumkerabatku terkejut dengan perubahan yang amat ketara itu, namun mereka tetap menganggap aku sebagai ahli keluarga. Malah mereka menghormati pemakanan dan tatacara hidup baruku. Aku bersyukur sangat.

Sahabatku,

Nampaknya, sampai sini sahaja aku dapat menekan punat-punat komputer ini. Aku sudah tidak tahan lagi untuk menaip. Ingatlah pesanku yang terakhir ini, sebarkanlah ajaran agama Allah di muka bumi ini. Hal ini kerana setelah melihat berita semasa di kaca tv yang melibatkan umat Islam semakin hari semakin banyak umat islam yang terpesong daripada ajaran agama yang sebenar.

Akhir kalam, sambutlah salamku yag terakhir…
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatu…..
Takbir!!!!!!!Allahuakhbar!!!!!


Teman sejatimu,
Abdul Rasyid @ Caleopatra



Innalillahi wainna ilahi ra’jiun. Terima kasih sahabatku yang setia disampingku. Aku berharap kau tenang menghadapi saat-saat kematianmu. Aku doakan agar kau bahagia di sana. Kutitipkan doa buatnya “ Ya Allah, sahabatku penyejuk hatiku….Mesra kami penawar duka….Rindu kami menambah cinta…Rajuk kami membuah ceria….Ya Allah, silaturrahim kami, ukhuwah fillah, bermush kamina’uzubillah…Berpisah mati, insya Allah…Pengubat hati doa Rabitah…..Ya Allah, rahmati kami meniti usia…Terpisah kami di alam nyata…Temukan semula di Taman SyurgaMu….”. Ameen 3x.



Teman,
Dahulu, kitatelah bersua
Mencari warna seindah purnama
Ukhuwah yang abadi
Terjalin di antara kita
Bagaikan sebuah jambatan kepada dua buah pulau yang jauh
Pertalian antara sebuah pertemuan
Akrabnya persahabatan kita
Menjadi temu sebuah persaudaraan
Ranjau…onak…duri…dugaan
Kita tempuhi bersama…
Gelak…tawa…riang…ceria…
Sering menghias ruang bicara
Terserlah di sebalik wajah,
Kegembiraan dengan redhaNya,
Teman,
Memori semalam terimbau kembali
Persoalan terdetik di benkku
Kenapa kita bertemu dan akhirnya berpisah jua???
Kita harus akur kepada lumrah dunia
Setiap bermula, akan berakhir
Setiap yang bertemu akan berpisah
Kaulah sahabat sejatiku
Di dunia dan akhirat…..


“ Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku, sahabat yang baik adalah yang seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas mati. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku merasa senang. Semakin ramai sahabat, semakin aku percaya diri. Aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tak luntur baiknya dalam suka atau duka. Jika aku dapat,aku akan SETIA padanya”(kata-kata Imam Syafie)

Thursday, April 29, 2010

Uhibbukafillah, jiddan jiddan...buatmu sahabat

cerpen yang sangat menarik untuk dikongsi..
sumber: http://ms.langitilahi.com

Sedih. Aku tidak tahu mengapa. Tetapi suasana kelam itu mengundang rasa sedih di dalam hatiku. Kulihat Ariff menangis teresak-esak. Fawwaz dan Munsyi duduk menunduk wajah yang sugul. Di sekeliling mereka bertiga, kebanyakan rakan-rakanku di Jordan ini turut hadir. Semuanya mempunyai gaya masing-masing. Namun gaya mereka semua bersatu atas satu perkataan. Sedih.

Tiba-tiba aku rasa takut.

Seakan-akan suasana itu meragut jiwaku.

“Semoga ALLAH rahmati arwah” Presiden MPPM Jordan, Abang Dzulkarnain berkata dalam keadaan matanya yang kemerahan.

Arwah?

Ada orang meninggal kah?

Tiba-tiba aku nampak wajah Toriq, sahabat karibku. Wajahnya pucat lesu. Kenapa? Dia kaku sahaja tanpa suara. Matanya terpejam.

Adakah….

****

Aku memandang wajah Toriq. Wajah itu tidak sama seperti wajah yang kelihatan dalam mimpiku. Wajahnya kini hidup, ceria, penuh cahaya. Wajah yang aku tidak pernah rasa sugul bila memandangnya. Namun hari ini, keresahan aku tidak hilang dengan memandang wajah bersih itu. Malah, semakin bertambah gelisah.

“Ni kenapa gaya nak makan orang? Dah tranformasi jadi Godzilla?” Toriq tersenyum-senyum.

“Jalan pandang depan la” Aku memuncungkan bibir ke hadapan, ke arah jalan raya. Kami kini sedang berada di hadapan sebuah pasaraya, yang bertentangan dengan pintu gerbang universiti kami. Antara pasaraya dengan pintu gerbang universiti, ada jalan raya yang besar untuk kami lintasi.

Senior-senior sentiasa berpesan agar kami berhati-hati kerana orang arab biasanya memandu dengan laju. Kadangkala, kita tidak dapat menjangka bagaimana mereka memandu. Aku yang pernah naik teksi dan coaster di Jordan ini, memang rasa macam nak tercabut jantung dengan cara pemanduan mereka. Menggerunkan.

“Uih, garangnya. Ni boleh jadi Godzilla sungguh ni” Toriq terus melangkah.

Tiba-tiba mataku menangkap sebuah kereta yang bergerak dalam keadaan laju.

Pantas wajah pucat Toriq dalam mimpiku menjengah. Kata-kata Abang Dzulkarnain mengetuk kepala.

Arwah…

“Toriq!” Aku terus mencapai lengannya, menarik Toriq ke belakang semula. Kereta tadi terus bergerak membelah jalan raya.

“Kau nak mati ke? Jalan tak pandang kiri kanan?” Aku meninggi suara. Dapat kurasa wajahku tegang. Dada berdegup kencang. Bukan marah, tapi…

Toriq angkat kening. “Kau ni kenapa? Siapa tak nampak kereta tadi? Aku bukan nak melintas jalan raya. Aku baru je nak melangkah nak berdiri tepi jalan raya. Macam tak biasa pulak.”

Aku diam. Tadi, dia bukan nak melintas ke?

“Kau ni, sayang aku terlebih ni” Toriq ketawa kecil.

Muka aku merah. Aku terasa macam aku ini orang bodoh pula.

“Aku risau” Aku menjawab tanpa memandang wajah Toriq. Jalan raya sedang dipenuhi kenderaan yang lalu lalang. Kami masih belum ada peluang untuk melintas.

“Risau? Terharu seh” Toriq memaut bahuku dengan lengannya. Dia masih ketawa.

Aku diam sahaja. Mana aku tak risau? Aku mimpi kau mati!

Tidak lama kemudian, kami mendapat peluang melintas jalan. Toriq melangkah dahulu. Aku pantas bergerak agar langkah kami seiring. Pantas tangan kananku memegang tangan Toriq, memimpinnya seperti memimpin anak kecil melintas jalan.

Sampai sahaja di pintu gerbang Univeristi Yarmouk, aku perasan Toriq memandangku. Tapi aku senyap sahaja. Beberapa orang di tepi jalan tersenyum-senyum memandang kami. Memang, nampak pelik kalau lelaki berpimpin tangan dengan lelaki.

“Kau tak sihat?” Suara Toriq agar kerisauan dengarnya.

Aku melepaskan tangannya semasa melepasi pintu gerbang. Geleng kepala.

Aku perlu bagitahu kah mimpi aku?

“Kalau kau ada masalah, bagitahu aku”

Toriq, memang sahabat yang baik. Sahabat aku yang terbaik. Tapi sekarang, bukan aku yang bermasalah. Masalahnya adalah kau, Toriq. Aku rasa macam kau akan ditarik pergi. Aku tidak mahu kau pergi!

“Tiada apa-apa”

Toriq tersenyum semula. Wajah cerianya kembali bercahaya. “Kau tengah angau dengan sesiapa ke?” Tangannya mencuit pinggangku.

“Banyak la kau”

****

Orang kata, kalau ada manusia nak dekat mati, biasanya dia akan ada tanda-tandanya. Tapi, selalunya tanda itu tidak akan kita perasan, melainkan selepas dia mati. Contoh yang biasa didengari adalah seperti ajak makan makanan kegemaran tapi dia makan tak habis. Contoh lain yang biasa aku dengar, arwah akan sering berkata berkenaan mati sebelum kematiannya.

“Agak-agak, umur kita ni berapa panjang lagi?”

Hampir tersembur air yang sedang kuteguk. Terkejut. Aku membesarkan mata, memandang Toriq.

“Mati-mati jangan sebut lah” Aku menegur.

Toriq tersengih. “Kenapa pulak? Mati tu bila-bila. Apa salahnya ingat mati. Mati selalu ingat kita”

Aku menghela nafas. Betul. Malah, mengingati mati adalah antara pencuci kekaratan di dalam hati.

Rasulullah SAW bersabda: “Hati itu akan berkarat seperti karatnya besi” Sahabat-sahabat pun bertanya bagaimana untuk membersihkannya. Rasulullah SAW menjawab: “Membaca Al-Quran dan mengingati mati”

“Tak ada la, hilang keindahan pagi ni” Aku memberikan alasan. Kemudian memandang mentari pagi yang redup di sebalik awan.

Sekarang Subuh pukul 3.40 pagi. Malam sudah menjadi pendek kerana musim panas. Antara hobi aku dan Toriq masa musim panas ini adalah duduk di atas sutuh dan berehat sambil memerhatikan mentari naik. Kami akan membaca Al-Quran dan kemudiannya bersarapan bersama-sama.

“Kalau aku mati, macam mana agaknya kau?” Soalan itu, mengundang pusingan pantas dari kepalaku.

Pantas aku meluku kepalanya.

“Aduh, kenapa?” Toriq menggosok-gosok kepalanya. Memandang aku dengan kehairanan.

“Degil ya. Kan aku dah cakap jangan rosakkan mood pagi ni” Aku cuba bergaya selamba.

Toriq mencemikkan muka, kemudian terus menyambung sarapannya.

Suasana senyap sebentar. Aku terus menghabiskan air. Cawan kuletakkan. Toriq tekun dengan makanannya. Aku rasa bersalah pula.

“Kalau kau tak ada…” Perlahan-lahan aku bersuara.

Toriq mengangkat kepala. Mata kami bertentang. Suasana senyap kembali. Kemudian Toriq mengangkat kening, isyarat agar aku meneruskan kata-kata.

“Aku akan rasa amat amat amat sedih” Suaraku perlahan.

Perlahan-lahan senyuman Toriq terukir.

“Kenapa? Lawak ke?”

“Terharu seh”

“Banyak la kau punya terharu”

“Aku saje je nak tengok kau sayang aku tak” Toriq angkat kening dua kali. Kemudian dengan selamba meneruskan sarapan.

“Ceh” Buat aku risau aje. Aku memandang langit kembali. Semakin cerah. Baru pukul 6.00 pagi, sudah seperti pukul 8.00 pagi di Malaysia.

Adakah hidup akan sentiasa cerah seperti keadaan sekarang?

****

Hah!

Aku terbangun lagi. Mimpi itu datang lagi. Wajah teman-teman yang sugul, ada yang menangis, ucapan Abang Dzulkarnain dan berakhir dengan wajah Toriq yang terpejam kehilangan seri.

Aku beristighfar berulang kali. MasyaALLAH… Perasaan takut menyerang.

Tubuhku rasa hangat. Kusentuh dahi, terasa basah. Aku berpeluh.

Semakin lama, aku terasa seakan-akan mimpiku akan menjadi kenyataan.

Mimpi yang sama datang dan datang lagi.

Ya ALLAH…

Kulihat jam pada telefon bimbit. 2.45 pagi. Aku terus bangun dan menuju ke tandas. Gosok gigi, dan membasuh muka. Kemudiannya aku mengambil wudhu’. Aku hendak solat tahajjud.

Semalam, Toriq mengadu kepadaku bahawa dia sakit. Dia rasa lemah-lemah badan. Hidung pula sentiasa berdarah.

Aku amat risau. Aku telah membawanya berjumpa doktor pada waktu malam, tetapi doktor hanya berkata bahawa itu keadaan biasa apabila perubahan cuaca. Memang biasanya pada musim panas, badan akan terasa lebih lemah dan kadangkala untuk beberapa orang, darah akan keluar dari hidung.

Keterangan doktor tidak membuatkan aku lega. Mungkin aku juga akan menganggap ini biasa, kalau aku tidak didatangi mimpi aneh itu. Tapi, setelah berulang kali mimpi itu hadir, aku rasa teramat risau. Adakah pemergian Toriq memang tidak dapat dielakkan? Adakah mimpi aku itu, benar-benar satu kepastian?

Aku menangis dalam sujudku.

Ya ALLAH, sesungguhnya KAUlah yang menguasai nyawa, maka panjangkanlah nyawa sahabatku itu!

****

“Nama aku Toriq. Yoroshikuu” Dia menghulurkan tangan.

Yoro… shiku? Bahasa Jepun apabila memperkenalkan diri, atau meminta seseorang melakukan sesuatu.

“Pelajar JUST?” Nama universiti untuk pelajar perubatan dan pergigian di Irbid kusebut.

Semua orang disekelilingnya ketawa.

“Aku dah kata dah, kau ni tak ada rupa pelajar Yarmouk” Bahunya ditepuk kawan di sisi.

Dia ketawa juga. “Aku pelajar Yarmouk. Macam kau juga. Kita sama baya la. Cuma aku sampai sini seminggu awal”

Aku tersengih. Pandangan pertama aku, pelajar bernama Toriq ini adalah seorang yang suka lepak-lepak, gaya happy go lucky dan ada aura anak orang kaya.

Sekejap sahaja. Sudah dua tahun berlalu. Tanpa aku sangka, pelajar yang aku ingat suka lepak-lepak, gaya happy go lucky, dan ada aura anak orang kaya itu adalah sebenarnya jauh dari sangkaan aku. Gayanya memang ceria, tetapi Toriq adalah seorang yang serius pada tempatnya. Dia rupanya bukan anak orang kaya. Dia sederhana sahaja seperti aku. Tetapi dari segi pelajaran, Toriq jauh melebihi aku. Dia antara yang tergenius di dalam Universiti Yarmouk. Hatta pensyarah pun menyayangi dia.

Akhlaknya baik dan bersih. Tidak pernah menyakitkan hati orang. Malah Toriq yang mengajak aku untuk mengikuti usrah yang dijalankan oleh Iktilaf Islami, kumpulan persatuan ISLAM orang arab di Universiti Yarmouk.

Toriq Sentiasa berbahasa yang menyenangkan, dan semua orang di kawasan Irbid ini menyukainya. Dan semestinya, Toriq ramai peminat dari kalangan pelajar perempuan.

Dan tanpa aku sangka juga, pelajar yang aku ingat suka lepak-lepak itulah yang menjadi sahabat karib aku sepanjang berada di Jordan ini. Kami tinggal serumah dari tahun pertama dengan tiga orang pelajar JUST, iaitu Ariff, Fawwaz dan Munysi.

Malah, kami adalah pasangan setter dan spiker yang digeruni di Universiti. Aku spiker dan dia sebagai setter. Kami berdua suka juga buat video macam Anas Tahir dan Akbar, tapi tak adalah merapu sangat macam mereka. Kami buat video tazkirah. Antara projek dakwah aku dan Toriq.

Aku, memang amat sayang dengan Toriq.

Sayang kerana ALLAH. Ukhuwwahfillah. Toriq yang kenalkan aku dengan benda-benda tu. Dia yang kenalkan aku akan hakikat ISLAM, hakikat iman. Sedikit demi sedikit dia mencerahkan kefahaman aku berkenaan makna kehidupan. Hinggalah sampai satu tahap, dia mengajak aku mengikuti usrah untuk pemahaman yang lebih tersusun.

Walaupun aku adalah seorang pelajar sekolah agama sebelum berkenalan dengan Toriq lagi, tetapi selepas dia menunjukkan aku semua itu, baru aku nampak bahawa aku telah silap meletakkan agamaku. Selama ini, aku hanya nampak ISLAM ini sebagai agama sahaja. Aku nampak ISLAM ini pada pelajaran. Aku nampak ISLAM ini untuk aku lulus cemerlang dan mendapat kerja dalam kehidupan.

Tapi rupa-rupanya, ISLAM ini lebih daripada itu. Seluruh kehidupan itu sendiri sebenarnya perlu berada di dalam ISLAM. Hal ini kerana, ISLAM itu syumul, meliputi segala perkara. Semua itu aku fahami, hanya selepas aku mengenali Toriq. Perlahan-lahan, dialah yang memimpin aku.

Sebab itu, aku amat menyayanginya.

“Ni kenapa tengok aku macam aku dah nak mati je ni?” Toriq memandang kepadaku.

Aku tersedar dari lamunan panjang. Perkataan ‘mati’ membuatkan aku sedikit rasa tidak senang.

“Kau sakit, aku tengok-tengokkan la” Aku menjawab selamba.

Toriq tersenyum. “Kut la nak ubatkan”

“Aku bukan doktor lah”

“Da’ie, doktor pada ummah seh”

Kata-kata Toriq mengoyak sengihku. “Masalahnya, kalau bab sakit macam kau ni, da’ie tak boleh nak ubatkan. Doktor la kena bagi ubat”

Toriq menggeleng. “Da’ie, perlu beri harapan kepada pesakit macam aku ni, untuk menjalani ujian sakit itu dengan penuh keimanan”

Aku tersenyum. Ada-ada sahaja. Tak mahu kalah juga.

“Jadi, bersabarlah kau dengan ujian ni. Ini baru sakit sikit. Kemungkinan, ALLAH akan uji dengan benda yang lebih besar”

“Apa agaknya benda yang lebih besar tu?”

“Aku kahwin dengan orang yang kau suka”

Terkeluar tawa kami berdua.

“Berani la” Toriq menunjuk penumbuk.

“Joke man, joke”

Toriq mengangguk. Aku tahu, dia faham. Kami bukan sekali dua bergurau. Entah, sudah kali ke berapa ribu kami bercanda. Kadang-kadang, tanpa bersuara pun, aku seakan dapat menjangka perasaannya, dan dia pula seakan dapat menjangka keadaan aku.

“Aku rasa, aku dah hampir sihat dah ni” Toriq memegang dahinya.

“Kau rehat cukup, okaylah kut”

“Darah pun dah tak keluar dah sehari dua ni”

“Esok boleh pergi kuliah”

“Kau mesti sepi pergi kuliah sengsorang”

“Bajet macam aku ni jiwang plak”

“Ha ha…”

Senyap sebentar selepas itu. Tiga hari ini, aku la yang menjaganya. Ahli rumah lain agak sibuk kerana mereka pelajar perubatan. Pelajar agama di Yarmouk memang agak banyak masa lapang.

“Tapi, memang sepi pun tak ada kau”

“Ha… introducing, mamat jiwang Irbid, Rasyid!”

“Banyak la” Aku menolak Toriq. Kami ketawa lagi. Nampaknya, Toriq memang benar-benar sihat.

Aku rasa lega.

Mungkin, mimpi aku itu hanya mainan sahaja.

Mungkin, aku ini terlalu banyak fikir.

“Hei Toriq” Aku memandang Toriq. Mata kami bertemu.

“Em?” Keningnya terangkat sebelah. Gaya kebiasaan.

“Uhibbukafillah, jiddan jiddan” Aku cintakan kamu kerana ALLAH sangat-sangat.

Toriq senyap sebentar. Kemudian ketawa.

Aku hairan. Kenapa?

“Kau memang dah jadi mamat jiwang seh. Gaya macam nak tinggal aku jauh je”

Aku tersengih. Aku yang takut kau tinggal aku jauh. Aku yang tak mahu kau pergi jauh tinggalkan aku.

Kemudian tawa Toriq mengendur. Dia memandang aku.

“Uhibbukafillah kaman” Aku cintakan kamu kerana ALLAH juga.

Aku tersenyum.

Hati lapang.

****

Aku terbangun.

Aku tidak tahu sama ada aku patut tersenyum, atau terus bimbang.

Aku bermimpi mimpi yang sama. Tetapi, mimpiku bertambah. Semuanya sama, hingga ketika wajah pucat Toriq yang terpejam matanya. Namun, kali ini, sebelum berakhir, mata Toriq yang terpejam itu, terbuka, dengan mata yang bergenang.

Adakah ini tandanya, dia tidak akan mati?

Ataupun, adakah ini tandanya, Toriq hanya berada dalam kesedihan?

Aku tidak tahu.

Ya ALLAH, lapangkanlah kehidupan sahabatku Toriq, permudahkan segala urusannya, ampunkan segala dosa-dosanya….

Aku berdoa.

Semoga ALLAH pelihara sahabatku Toriq.

Sekurang-kurangnya, dalam diriku sekarang, ada perasaan bahawa, Toriq tidak akan pergi meninggalkan aku.

Tapi…

****

Kehidupanku seakan kembali seperti biasa. Berjalan ke Universiti Yarmouk bersama sahabat tercinta, Toriq.

Pagi tadi, selepas bersarapan, aku teringat akan ibuku. Aku bersembang lama juga. Sempat berkirim salam kepada semua keluarga. Agak lama juga tidak menghubungi mereka.

“Ni kenapa muka macam orang baru kahwin ni?”

Aku tersengih. Sebab aku senang hati. Aku dapat telefon ibuku pada pagi hari, dan sahabatku kembali sihat. Malah, aku dapat rasa bahawa kerisauanku macam beterbangan hilang. Mungkin selepas aku kembalikan bahawa, hidup dan mati itu susunan ALLAH.

Semalam, sebelum tidur, aku bermuhasabah.

Mungkin, kalau benar mimpi-mimpi aku selama ini benar adalah tanda bahawa Toriq akan ditarik pergi, maka aku pun tidak akan mampu menghalang kehendaknya. Mati itu adalah urusan-Nya. Kita tidak boleh mengelak, jauh sekali hendak melarikan diri. Cuma, tugas kita adalah hidup dengan nyawa yang masih ada, dan cuba menjaga diri sebaik mungkin.

Setiap yang bernyawa akan mati. Tiada keraguan akan hal itu. Maka tidak perlu dipertikaikan. Pokok persoalan sekarang adalah, bagaimana kita menjalani kehidupan.

Dikejutkan mimpi semalam, aku solat tahajjud, solat taubat dan melakukan solat hajat. Aku mendoakan agar aku termasuk dari kalangan yang beriman dan diberi rezeki untuk masuk syurga. Aku berharap agar, aku termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat redha ALLAH. Aku juga mendoakan semua ahli keluargaku, dan rakan-rakanku. Semestinya, aku tidak lupa mendoakan sahabatku Toriq.

“Weh, jawab la. Mimpi jumpa bidadari ke?” Toriq menolak bahuku.

Aku menggeleng. Aku mimpi kau hidup. “Mana ada apa-apa”

Aku terus berjalan. Toriq menepuk-nepuk belakang tubuhku. “Takpe…”

“Jangan ambil hati seh” Aku meniru ‘seh’ yang selalu diucapkannya.

“Aku ambil jantung je seh” Toriq membalas canda.

Kami ketawa.

Kami sampai di tepi jalan raya.

“Tak sibuk seh pagi ni”

Aku mengangguk. Walaupun ada kenderaan lalu lalang, tapi tidak sesibuk seperti biasa.

Toriq terus melintas. Aku mengikuti dari belakang.

Poooooooooonnnnn!!!!

Aku menoleh. Sebuah coaster bergerak laju ke arah kami. Mataku membesar. Spontan aku menolak Toriq dengan kuat. Sahabatku itu terkeluar dari jalan raya.

Jarak coaster denganku tidak lebih dari sedepa.

Ketika ini, keadaan sekeliling aku seakan menjadi perlahan. Aku sendiri jadi pelik. Aku sempat memandang Toriq yang hendak membuka mulut untuk mejerit.

Aku sempat pula teringat akan mimpiku.

Tangisan ahli rumah, kesugulan kenalan-kenalan di Jordan, kata-kata Abang Dzulkarnain, kemudian wajah pucat Toriq dengan mata terpejam yang akhirnya terbuka dalam keadaan mata bergenang.

Patutlah…

Aku tersenyum.

“Oh, rupanya bukan Toriq. Tetapi aku…”

Alhamdulillah. ALLAH Maha Besar. Ternyata ilmu berkenaan kematian ini tidak tersampai pada insan untuk menjangkanya.

BAM!

Seluruh alam macam berputar berulang kali.

Dan yang terakhir aku dengar adalah suara jeritan Toriq yang panjang, sebelum segalanya menjadi gelap, dan senyap.

ALLAH… Aku naik saksi bahawa tiada ILAH selainMU, dan Muhammad itu adalah RasulMU.

Toriq…

Aku yang pergi dahulu.

p/s- sahabat ku sekalian...maafkan diriku andai aku pergi dulu....aku harap masalah yang timbul ini akan selesai cepat...ketahuilah teman, aku menyayangimu...tak terniat di hatiku untuk membenci mu....

Thursday, March 11, 2010

Bertunang dengan......??????

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

..........................
.............

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."


sumber: http://al-insyirah.forummotion.com/

Tuesday, December 22, 2009

hati seorang anak

Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter Pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan ibadah fardhu haji pada tahun ini.

“Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu ringgit lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,” beritahu pegawai itu lagi. “Insya’Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera,” janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji, dia terus balik ke rumah.

“Pah….. Ooo….. Pah!” teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.

“Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?” tanya Mak Pah.

“Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ni akan tertunai. Insya’Allah, dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai,”
cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.

“Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai.”

“Betullah Pah oii…….. saya ni baru je balik dari Pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan.”

“Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itupun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu.” Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.

“Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.”

Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak-anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.

“Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik, boleh kita berunding,” cadang Pak Uwei.

“Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah minta duit anak-anak.” Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.

“Pah…. Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh, lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni.” Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.

“Tapi bang………..”

“Dahlah…… pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu,”

pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang, kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.

“Insya’Allah, Kis balik nanti Abah. Ermm! Abah nak Kis suruh Intan balik sama?” tanya Balkis.

“Ikut suka kaulah, bagi Abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya….,” balas Pak Uwei.

Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya, tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan denga Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar, tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang, mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.

“Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi.” Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.

“Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram.” Bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei.

“Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?”

“Itulah Abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat Abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh Abah.” Intan cuba membuat Abahnya faham.

“Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!”

“Intan memang tak sama dengan Kak Balkis, Abah. Intan suka berterus-terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan, bukan membebel kat belakang,” balas Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada Abahnya.

“Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi….. aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah.”

“Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!” Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak mempedulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu, Intan tetap pulang setiap kali cuti. Dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak mempedulikannya.

Intan selalu menghulur duit, tapi hanya kepada maknya sahaja. Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu, selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isyak, mereka duduk berborak di ruang tamu.

“Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit,” Pak Uwei memulakan bicara.

“Hajat apa pula Abah?” tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.

“Abah dan Mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian Mak kau masih belum cukup lagi, abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,” Pak Uwei mengutarakan hasratnya.

“Boleh tu boleh Abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru je keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz.

“Tapi…… Pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan.”

“Kalau dalam seminggu dua ni Abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan,” jawab Muaz serba salah.

“Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.

“Rumah baru tu besar sikit Abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi Abah, pelaburan masa depan juga,” sampuk Mira isteri Muaz.

Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. “Kamu macam mana Kis, boleh tolong Abah? Nanti Abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti,” Pak Uwei berpaling pada Balkis.

“Kis pun rasanya tak dapat nak tolong Abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan Abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah…… ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi.” Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.

“Man bukan tak nak tolong Abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.”

“Betul kata Man tu Abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,” sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.

“Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah Abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki, Mak pula pergi,” Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.

“Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau Awak tak pergi, biarlah kita sama-sama tak pergi….. dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?” Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.

Intan tahu Abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya, tapi Intan faham kecewa Abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.

“Anak awak tu tak balik ke?” tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama dengan abang dan kakaknya.

“Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti,” balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.

“Nak ke mana pulak tu?” tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.

“Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat ubi kegemarannya.” Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebutnya anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak. Pagi Isnin itu selepas bersarapan, Intan bersiap-siap hendak keluar.

“Nak ke mana Intan pagi-pagi dah bersiap ni?”

“Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye.”

“Kalau nak ke bandar suruhlah Abah kau tu hantarkan,” suruh Mak Pah.

“Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula Abah tu. Intan pergi dulu.” Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri.

Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu, mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.

“Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni Abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api.”

“Ingat lagi Abah lauk kegemaran Intan rupanya,” usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.

“Mak Bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak,” jawap Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit. Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor, kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedan membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.

“Mak, Abah….. Intan ada hal sikit nak cakap ni….,” ujar Intan menghampiri mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya., kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.

“Apa hal….. kamu nak kahwin ke?” soal Pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar, Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.

“Abah ni…… ke situ pulak….”

“Habis tu?”

“Ini….. kad Tabung Haji Mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ini resit memasukkan duit ke akaun Mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek Mak dan Abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti.” Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.

“Apa???” Pak Uwei terkejut. Matanya merenung Intan dan duit ditangannya bagai tidak percaya.

“Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal Abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan Abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati Abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada Abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu Abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat Abah.”

“Dah banyak kali Abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pulak tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap Abah sudi terima pemberian Intan,” tutur Intan perlahan memerhatikan air mata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.

“Terima kasih Intan. Malu rasanya Abah nak ambil duit kamu…… dulu Abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi, tapi akhirnya anak Abah yang kerja kilang yang membantu Abah,” luah Pak Uwei sambil mengesat air mata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.

“Sudahlah Abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira Abah sudi terima pemberian Intan.”

“Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi Abah dan Mak kau Intan….,” ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat.

“Hah……tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni,” Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat air mata penuh kesyukuran.

“Mak ni…..,” gelak Intan memandang abahnya yang tersengih. Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba.

“Semua dah siap ke Mak?” tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.

“Dah rasanya…… ada apa-apa yang Intan nak pesan Mak belikan di sana nanti?”

“Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli Mak. Yang penting Mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.”

“Hah! Awak dengan tu…. Kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah,” tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua beranak itu.

“Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat,” pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.

Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di Tanah Suci. Intan tidak berkata sepatah pun, tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.

“Kenapa resah aje ni Bang?” Mak Pah terjaga.

“Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita.”

“Sabarlah, dah nak sampai dah ni,” pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.

“Mak….. Abah…..,” Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan air mata menitis laju.

“Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.

“Mereka menanti di rumah, Abah,” beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei.

“Intan pun tak datang juga ke?” tanya Pak Uwei terasa hampa.

“Awak ni….. kan Man dah kata mereka menunggu di rumah.” Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ni nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.

“Dua tiga malam sebelum balik, Abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati.” cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu.

“Tentulah Abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.

“Tapi Abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi Abah tu, Abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun, hanya renung Abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?”

“Err….. tak ada Abah. Kita berhenti minum dulu Abah, tentu Mak haus,” ajak Azman.

“Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik,” tolak Pak Uwei. Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.

“Mak dengan Abah sihat ke?” tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.

“Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?” Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.

“Naik dulu Ngahnya…….,” suruh Long Semah.

“Intan mana?” Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tangga menuju ke bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.

“Az….. mana Intan? Mana adik kau Az?” tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.

“Sabar Abah….,” Muaz menggosok belakang abahnya.

“Kenapa Az…….. kenapa?” Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.

“Mak…. Intan dah tak ada Mak,” Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu menglilinginya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.

“Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,” pujuk Long Semah yang masih belum pulang.

“Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,” Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.

“Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?” tanya Mak Pah.

“Kami semua ada Mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya Mak. Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan Abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi, tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isyak dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital, tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal Subuh hari Jumaat Mak…….. tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak,” cerita Muaz. Mak Pah menggenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka.

Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan, “Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, Mak dan Abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat…..”

“Islam pada mulanya terasing, dan ia akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing”